Bung Mokhtar ubah amaun pelaburan tunai Felcra: Saksi
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bekas Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mengubah amaun pelaburan tunai organisasi itu daripada RM50 juta kepada RM150 juta.
Ahli Lembaga Pengarahnya, Dr Habibah Suleiman berkata, beliau menganggap Bung Mokhtar mengubah jumlah pelaburan berkenaan selepas mengakui bertemu dengan Menteri Kewangan ketika itu.
Menurutnya, amaun pelaburan yang dipohon adalah sebanyak RM150 juta sedangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) hanya menyatakan sebanyak RM50 juta.
“ALP juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkaitan perubahan amaun itu sehingga Mesyuarat Lembaga Pengarah bil 157 diadakan.
“Pihak ALP ada bertanya kepada Bung Mokhtar berkaitan perbezaan amaun yang dilaburkan di dalam Unit Amanah Public Mutual tapi Bung mengaku sudah bertemu dengan Menteri Kewangan dengan membawa surat permohonan Felcra Berhad untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.
Ketika disoal balas oleh peguam, M Athimulan yang mewakili Bung Mokhtar, saksi pendakwaan kelima itu berkata, beliau hanya mengetahui pelaburan itu bertambah daripada RM50 juta kepada RM150 juta ketika mesyuarat ALP pada bulan Jun 2015.
Terdahulu, Bung Mokhtar, 60, didakwa menerima rasuah bernilai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 10 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!