Bujang dan janda dicekup bersekedudukan
MARANG - Status hubungan sepasang 'suami isteri' yang menetap bersama sejak beberapa bulan lalu akhirnya terbongkar apabila diserbu Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di sini semalam.
Lelaki berusia 26 tahun dan pasangannya yang berstatus janda berusia 35 tahun itu sebenarnya pasangan kekasih dan tinggal bersama dengan menyewa rumah di Sungai Kerak, di sini.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasaan JHEAT, Mohd Adnan Abdullah berkata, pasangan itu ditahan atas kesalahan berkhalwat dalam serbuan kira-kira jam 12.10 malam itu.
"Operasi ini dilakukan sepasukan pegawai penguat kuasa syariah, hasil maklumat dan intipan yang dijalankan mengenai status hubungan mereka.
"Hasil siasatan, kita dapati rumah itu disewa pasangan berkenaan sejak beberapa bulan lalu bersama dua anak wanita terbabit dan mengaburi mata penduduk setempat sebagai pasangan suami isteri yang sah.
"Bagaimanapun, ada penduduk yang curiga dengan status pasangan itu lalu membuat aduan kepada JHEAT dan hasil siasatan mendapati suspek lelaki masih bujang manakala pasangannya adalah ibu tunggal kepada dua anak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, dalam kes berasingan, satu pasangan berstatus duda dan janda ditahan polis dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Jambu Bongkok, Merchang kira-kira jam 12.50 pagi kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 40 tahun itu mempunyai seorang anak manakala pasangannya adalah ibu tunggal kepada enam anak.
"Dua pasangan ini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 (A) dan (B) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!