Abadikan barisan hadapan negara dalam potret
KEMAMAN - Pelbagai cara dilakukan rakyat Malaysia bagi menzahirkan penghargaan mereka kepada wira dan wirawati negara yang sedang bertungkus lumus mengekang penularan wabak Covid-19.
Bagi pelukis profesional Elias Mohd, 62, yang kini bermastautin di Belanda, beliau mengabadikan rasa terima kasihnya kepada insan-insan barisan hadapan negara melawan ancaman wabak berkenaan melalui lukisan potret.
Elias yang juga pembuat arca dan pensyarah seni reka seramik di sebuah akademi seni di Amsterdam, Belanda menghabiskan masa lapangnya sepanjang berada di kampung di Kijal di sini, dengan melukis potret individu terkemuka termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Anak kelahiran Terengganu itu juga menghasilkan lukisan potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
“Saya pulang ke Malaysia untuk menyertai pameran arca di WTC (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur) yang dijadualkan pada Julai ini. Tetapi pameran itu telah dibatalkan dan saya telah menempah tiket untuk pulang ke Amsterdam pada Selasa (12 Mei) tetapi kerana penularan Covid-19 penerbangan itu telah dibatalkan dan tidak tahu bila pula dapat pulang ke sana.
“Jadi dengan masa terluang ini saya terfikir untuk melukis potret hero-hero Malaysia di atas kertas lukisan. Tetapi lukisan potret kali ini hanya menggunakan pensel warna kerana peralatan lain seperti cat minyak saya tidak bawa pulang ke Malaysia,” katanya yang ditemui Bernama di sini.
Beliau bercadang untuk melelong lukisan-lukisan berkenaan secara dalam talian dan hasil jualan akan disumbangkan kepada golongan memerlukan termasuk petugas barisan hadapan.
Dalam pada itu katanya, sebelum berkarya beliau perlu mencari ‘kekuatan’ dan keistimewaan setiap watak yang ingin diterjemahkan ke dalam lukisannya.
“Seperti Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terkenal dengan sifat merendah diri dan mesra rakyat, Perdana Menteri pula seorang yang sangat bersederhana dan membuatkan rakyat berasa dekat dengannya.
“Dr Noor Hisham pula, saya tertarik dengan cara beliau berkempen dan menerapkan amalan penjagaan kesihatan kepada masyarakat sehingga saya berminat mengikuti perkembangan beliau. Jadi dengan mengetahui ciri-ciri mereka ini membuatkan saya mudah melukis dan ‘menghidupkan’ lukisan potret mereka,” katanya yang mengambil masa satu atau dua hari untuk menyiapkan setiap lukisan.
Menceritakan penglibatannya secara serius dalam bidang seni, Elias yang bermastautin di Amsterdam sejak 1987 berkata, beliau bermula dengan hanya melukis potret di tepi jalan di negara kincir angin itu kira-kira 30 tahun lepas.
Selepas itu, karya Elias sama ada lukisan dan arca terus menerima permintaan yang tinggi dan kebanyakan pelanggannya merupakan golongan kenamaan termasuk dari Eropah, Amerika Syarikat dan Malaysia.
Setakat ini, beliau telah mengadakan lebih 30 pameran solo di serata dunia dan pernah terpilih menjadi pelukis rasmi pada Temasya Sukan Olimpik Barcelona, Sepanyol pada 1992, bersama enam pelukis profesional Belanda yang lain.
Elias juga pernah dipilih menjadi antara pelukis utama Diraja Belanda dari tahun 2013 sehingga 2016.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!