Pasar basah di Pokok Sena beroperasi menjelang April
ALOR SETAR - Penduduk di Pokok Sena, di sini bakal mendapat kemudahan pasar basah baharu tidak lama lagi yang menempatkan peniaga tepi jalan.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, lebih RM4.7 juta diperuntukkan untuk projek pembinaan Pasar Pokok Sena itu bermula Julai 2017.
Menurutnya, kerajaan persekutuan memberi peruntukkan sebanyak RM2 juta, manakala Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memperuntukkan kira-kira RM1.96 juta untuk pengambilan tanah dan RM771,688.83 lagi untuk kos projek.
“Melalui projek itu, kita dapat menempatkan semula peniaga-peniaga tepi jalan di Pokok Sena ke lokasi lebih strategik, kondusif, selesa dan selamat berbanding lokasi lama.
“Dengan pembinaan Pasar Pokok Sena, kita juga dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan memastikan peniaga dapat menjalankan perniagaan dengan lebih selesa,” katanya.
Terdahulu, beliau turun padang melawat premis itu bersama pegawai-pegawainya dalam Majlis Penyerahan Pasar Pokok Sena daripada pemaju kepada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Mohd Zohdi berkata, kawasan pasar berkenaan dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik, pejabat, surau, tandas serta tempat letak kereta untuk kegunaan peniaga dan pengunjung.
“Kedai runcit, buah-buahan, santan, ayam, ikan, daging, sayur dan tapak berturap untuk peniaga pasar sehari turut disediakan untuk memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan.
“Pasar Pokok Sena yang bakal menempatkan 56 peniaga dalam bangunan pasar dan 32 peniaga pasar sehari dijangka akan beroperasi tahun ini. Peniaga dijangka masuk pada hujung Mac nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!