Malaysia turunkan duti eksport MSM bagi Jun

Gambar hiasan. Foto:123RF
Gambar hiasan. Foto:123RF
A
A
A
DUTI eksport minyak sawit mentah (MSM) Malaysia telah dikurangkan kepada sifar bagi Jun 2020 berbanding 4.5 peratus pada bulan ini.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), cukai itu telah dikecualikan bagi sebahagian besar tahun lepas - mulai 1 Mei sehingga 31 Disember 2019 tetapi dikuatkuasakan semula pada kadar lima peratus pada Januari lepas.

Dalam kenyataan di laman sesawang rasminya, MPOB berkata, Malaysia yang juga pengeluar dan pengeksport MSM kedua terbesar dunia telah membuat menetapkan harga rujukan minyak sawit pada RM2,122.77 satu tan untuk Jun 2020.

Sementara itu peniaga minyak sawit David Ng menyifatkan menyambut baik langkah pengurangan duti eksport MSM memandangkan paras inventori minyak sawit negara ini meningkat lebih dua juta tan pada April manakala pengeluaran mencecah paras tertinggi dalam tempoh enam bulan berikutan penularan Covid-19 yang menjejaskan permintaan terhadap komoditi itu.

“Walaupun terdapat impak Covid-19 di serata dunia yang memberi kesan terhadap permintaan minyak sawit global, eksport Malaysia sebaliknya meningkat pada 15 hari pertama Mei 2020.
Artikel Berkaitan:


“Oleh kerana minyak sawit itu semakin pulih, cukai pada kadar sifar akan turut membantu mengurangkan stok simpanan yang dimiliki Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Laporan sebelum ini menyatakan harga minyak sawit Malaysia susut sekurang-kurangnya 35 peratus sejak Januari tahun ini.

Pada masa ini komoditi itu diniagakan pada RM2,081 satu tan untuk bulan semerta Mei 2020 di pasaran hadapan Bursa Malaysia Derivatives. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!