Kalau sudah jadi gila...
Orang Melayu kita penuh dengan budi bahasa. Setiap kata-kata diucapkan dengan penuh tertib. Tiada mahu tersalah sangka. Hanya ditujukan kata-kata kepada yang empunya diri. Maka siapa makan lada, dialah terasa pedasnya.
Namun begitu, bukan semua orang berasa akan pedasnya lada. Ada di antaranya sudah buta rasa juga. Fikirannya merewang mencari akal untuk merebut kuasa. Dengan kuasa, ada mata celik, ada hati buta.
Terlalu banyak ucapan orang Melayu bijaksana kita untuk diberi contoh dalam memberi kiasan atau perumpamaan untuk orang seperti itu. Contohnya, jika mereka ini ingin sangat berkuasa, maka orang tua Melayu bijaksana kita memberi contoh dengan perumpamaan anjing.
Umpama anjing memakan muntah, contohnya. Saya tidaklah pernah melihat anjing memakan muntah. Hanya cerita seperti Badang yang sanggup memakan muntah hantu demi mendapat kuasa.
Mungkin anjing tersebut terlalu lapar, maka tidak dihiraukan lagi apa yang ada di sekelilingnya. Yang penting hanya untuk enak-enak sendiri demi kelangsungan hidup agaknya.
Kenyang dengan muntah, anjing itu, walaupun dimaki sekalipun, ia tetap akan berulang ke tempat bangkai yang banyak tulang. Tidak dikira bersih atau tidak. Asalkan ada tulang sahaja. Biasanya tempat yang ada tulang itu adalah kotor. Tetapi anjing itu tidak peduli.
Orang muda zaman sekarang mungkin jarang mendengar akan peribahasa di atas maka sebab itu tidak diendahkannya. Maka eloklah orang muda ini mengambil tahu. Supaya tahu akan perumpamaan orang bijak pandai kita dahulu.
Sekarang ini tidak kira yang bersongkok atau berserban, banyak muka bagai ditampal kulit babi bak kata peribahasa Melayu lama lagi. Tidak diendahnya lagi akan perasaan rakyat jelata. Banyak betul sandiwaranya. Kuasa rakyat jelata sekarang seolah-olah dipandang sepi sahaja. Sia-sia sahaja rakyat bersusah payah memilih mereka untuk membela nasib mereka. Tetapi akhirnya ‘demokrasi terpimpin’ bak kata Abdul Wahid menjadi pilihan pula.
Jijik sungguh. Tetapi jijik bagi orang yang suka menunggang apa sahaja, tetap tidak ada rasa. Mereka angkuh mendabik dada mengatakan apa yang mereka lakukan demi rakyat jelata.
Kuasa
Hakikatnya semua sudah tahu. Dulu berkawan dan sekarang tikam belakang. Apakah molek prinsip diri mereput begitu sahaja hanya demi kuasa? Bagi mereka yang taksub tidak ada berasa apa-apa.
Mungkin ada rakyat jelata yang merasakan seperti dikhianati. Teori Machiavelli diaplikasikan demi mencapai bintang dan pada masa yang sama, menyatakan tidak mengapa asalkan hati rakyat jelata dijaga.
Ah, memang ada udang di sebalik batu. Dan rakyat jelata tidak bebal. Hanya meluat melihat drama minggu ini yang tidak pernah habis diulang siar di paparan mata.
Sedangkan hidup rakyat belum sudah susahnya tidak diendahkan. Ibarat menanam tebu di tepi bibir. Mereka hanya mementingkan nafsu kendiri sahaja. Tidak ada mahunya membela. Kalau ada hanya cubaan mengambil hati.
Pemerkosaan kuasa rakyat demi memenuhi nafsu serakah mereka sudah tidak mengira masa susah atau senang. Bak kata peribahasa Melayu lama lagi, bagai dendang: di luar merah di dalam pahit.
Justeru, rakyat jelata juga perlulah berprinsip. Janganlah hanya berpejam mata dengan orang gila yang semakin ramai ini terutamanya golongan gila kuasa.
Berkata Shaharom Husain dalam novelnya Siapa Gila yang ditulis terbit pada tahun 1967: “Sekarang sudah bertambah jenis orang atau manusia gila, iaitu gila politik, gila pangkat, gila binatang, gila ke England, gila ke universiti, gila bintang filem, gila mengarang, gila kahwin, gila makan gaji, gila beniaga dan macam-macam gila lagi.”
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarkat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!