Kerajaan beri nafas kepada industri media

Campur tangan secara serius oleh kerajaan boleh memastikan survival media arus perdana. Gambar kecil: Chamil dan Jeniri
Campur tangan secara serius oleh kerajaan boleh memastikan survival media arus perdana. Gambar kecil: Chamil dan Jeniri
A
A
A

SHAH ALAM- Maklum balas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk menilai cadangan bantuan komersial dan perundangan untuk membantu industri media tempatan yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) dan kegawatan ekonomi disifatkan sebagai amat baik dan dialu-alukan oleh seluruh pengamal media Malaysia.

Pengarah Eksekutif Sarawak Tribune Press yang menerbitkan akhbar Sarawak Tribune, Dr Jeniri Amir berkata, ia merupakan satu berita yang sangat positif dan beliau berharap dapat diusulkan kepada Kabinet.

“Semoga segala usul atau cadangan dikemukakan oleh tokoh-tokoh wartawan, pengamal media termasuk syarikat media tempatan dipertimbangkan secara serius oleh kerajaan bagi memastikan survival media arus perdana dan media cetak di negara ini.

“Sekurang-kurangnya respons KKMM ini boleh dianggap sebagai ventilator terbaik buat masa ini untuk membantu industri media terus bernafas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya turut senada dengan Dr Jeniri dan menyifatkan keputusan KKMM untuk berbincang dan membuat penilaian berhubung bantuan kepada industri media tempatan sebagai usaha yang sangat bagus.

“Sebagai permulaan, ada tiga cadangan atau langkah boleh dibuat kerajaan iaitu dengan menyediakan peruntukan khusus untuk membeli ruang iklan dalam akhbar, televisyen dan radio yang beraspirasi nasional dan kenakan levi terhadap keuntungan diperoleh oleh gergasi teknologi antarabangsa seperti Google, Yahoo dan sebagainya melalui hasil iklan mereka di Malaysia.

“Yang terakhir, kerajaan juga boleh mempertimbang untuk mengenakan levi ke atas syarikat pemilik telefon pintar yang didaftarkan di Malaysia kerana rata-rata rakyat hari ini memiliki gajet itu dan mengakses berita dari situ.

“Saya difahamkan ada 40 juta pemilik telefon pintar didaftarkan dan jika mereka dikenakan levi RM1, umpamanya, ia boleh dijadikan geran atau disalurkan untuk bantu industri media,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!