Ujian getir di Cameron Highlands

A
A
A

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara M Manogaran dari DAP/PH, Mohd Ramli Nor (BN) yang merupakan Orang Asli anak tempatan dan bekas pegawai kanan polis, serta dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee. Manogaran sebelum ini kalah kepada calon MIC/ BN pada PRU14 dan PRU13.

Mengikut sejarah dan trend pilihan raya lepas, calon-calon bebas tidak akan membawa apa-apa impak dan kesan kepada keputusan. Jadi tumpuan umum adalah antara BN dan PH.

Sejarah pilihan raya Cameron Highlands

Kerusi Cameron telah dimenangi BN sejak diwujudkan pada 2004 (PRU11). Tetapi majoriti dimenangi oleh MIC / BN telah merosot dari satu PRU kepada satu PRU seterusnya.

Pada 2004 (PRU 11), MIC/ BN telah menang dengan majoriti 6,260, pada 2008 (PRU12) dengan majoriti 3,117.

Pada 2013(PRU13) dengan majoriti 462 dan pada 2018 (PRU14) dengan majoriti 597 undi sahaja.

Dari permulaan sejarah pilihan raya kerusi Cameron pada 2004 (PRU11) sehingga PRU14, MIC / BN telah ditentang calon DAP. Jumlah undi yang diraih DAP (Pakatan Rakyat ketika itu) dan kemudiannya DAP/ PH telah meningkat dari masa ke semasa.

Perlu kita ambil ingat dan kira bahawa Pas berjaya meraih 3,587 undi pada PRU14. Ini adalah undi blok dari ahli dan penyokong Pas yang setia dengan pucuk kepimpinan parti. Pas tidak bertanding kali ini.

Adalah dijangka undi blok ini akan mengikuti arahan pimpinan Pas Pusat siapa yang mereka perlu undi. Pas telah memilih untuk menyokong BN.

Ujian getir bagi kedua-dua pihak

Mengikut daftar pengundi terkini, jumlah pengundi Cameron untuk PRK ini ialah 32,009 pengundi dan pecahan pengundi adalah seperti berikut:

Artikel Berkaitan:

Selepas PRU14, sebanyak empat PRK telah diadakan iaitu tiga kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen iaitu Port Dickson. Kerusi-kerusi tersebut terdahulu dimenangi PH dalam PRU14. Jadi tidak hairanlah PH berjaya dengan mudahnya untuk mempertahankan kemenangan mereka ke atas keempat-empat kerusi tersebut. Rakyat masih ghairah dengan sokongan mereka kepada PH.

PRK Cameron Highlands ini membawa sedikit perbezaan kerana ia kerusi pertama dimenangi BN yang terpaksa mereka pertahankan.

Persoalan perlu dijawab pengundi ialah sama ada mereka masih yakin dengan PH selepas lapan bulan mentadbir negara atau mereka kira kredibiliti Umno / BN sudah pulih? Keputusan PRK ini bukan sahaja akan memberi jawapan kepada sikap dan sentimen pengundi tempatan tetapi juga akan menjadi kayu pengukur kepada pendirian politik rakyat jelata di seluruh negara terhadap PH dan BN.

Isu semasa dan ramalan keputusan

Umum memperakui bahawa banyak perubahan telah berlaku di peringkat nasional dalam lapan bulan negara berada di bawah kerajaan PH. Impak dan kesannya kepada PH boleh dikatakan berbelah bagi di antara baik dan tidak baik.

Sebahagian daripada perubahan tersebut telah diterima baik rakyat. Ini termasuklah penggubalan dasar baharu ke atas polisi ekonomi dan juga fiskal, usaha memerangi gejala rasuah, pembaharuan serta transformasi kepada institusi, badan dan agensi kerajaan; pengiktirafan hak asasi rakyat termasuk kebebasan untuk bersuara dan sebagainya.

Namun, kerajaan PH juga dikatakan telah gagal dalam beberapa bidang tertentu termasuk kegagalan untuk menunaikan sebahagian dari janji-janji pilihan raya, merangsang ekonomi negara dan menurunkan kos sara hidup rakyat, memupuk perpaduan negara dan keharmonian rakyat.

Parti-parti komponen PH dan pemimpin-pemimpin mereka juga dilihat sering bertelagah sesama sendiri seolah-olah tiada konsensus dalam urus-tadbir negara. Beberapa kenyataan serta tindak-tanduk menteri Kabinet yang kurang berpengalaman juga ikut menjengkelkan rakyat.

Namun, mengikut kajian beberapa penganalisis, majoriti rakyat masih lagi menyokong PH setelah mengambil kira adalah terlalu awal untuk menjatuhkan hukuman ke atas PH.

Perkembangan mutakhir berhubung hubungan di antara Istana Johor dan Tun M serta pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang dengan harapan baginda akan dipilih sebagai YDP Agong seterusnya juga memberi impak yang positif kepada PH.

Jadi pada keseluruhannya kita boleh membuat perkiraan bahawa perhitungan isu-isu di peringkat nasional untuk masa ini masih berpihak kepada PH.

Sementara itu, isu-isu tempatan juga akan ikut mempengaruhi sikap dan sentimen pengundi. Semasa PRU14 beberapa isu tempatan telah menjadi bahan perbincangan yang hangat di kalangan pengundi. Antaranya ialah kehadiran begitu ramai pekerja dan pengusaha asing di ladang dan kebun.

Dakwaan dibuat oleh beberapa pihak bahawa kerajaan BN dahulu telah memberi kepada pekerja dan pengusaha asing tersebut hak kerakyatan negara atau status pemastautin tetap, hak milik atau hak ke atas tanah-tanah kebun di Cameron Highlands.

Masyarakat tempatan juga dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap dan tindakan kerajaan negeri dalam mengendalikan masalah banjir lumpur yang berlaku di Cameron Highlands yang telah mengakibatkan kematian kepada beberapa orang pekerja kebun. Ada desas desus mengatakan punca banjir ini adalah ekoran dari penerokaan secara haram oleh pengusaha asing.

Orang Asli juga telah membuat bantahan kepada kerajaan BN bahawa kononnya peruntukan kewangan untuk kebajikan mereka telah disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin BN yang mengurus dan mentadbir Cameron Highlands.

Kesemua masalah tersebut masih segar dalam ingatan pengundi di situ dan pastinya akan diambil kira oleh mereka bila mereka mengundi nanti.

Jadi impak isu-isu tempatan nampaknya juga berpihak pada PH.

Namun keputusan bijak BN memilih Ramli dari keturunan Semai pastinya mempengaruhi undi blok Orang Asli. Ada yang menyebut Ramli bakal meraih di antara 6 0 - 70 peratus undi Orang Asli yang berjumlah 22 peratus dari keseluruhan undi. Pengundi Melayu juga dikatakan berpihak kepada BN memandangkan Ramli dilihat sama tarafnya dengan orang Melayu. Dan setelah mengambil kira undi blok dari Pas, Ramli diramal mampu meraih di antara 65 -70 peratus undi Melayu.

Pengundi Cina pula dijangka akan berpihak kepada PH. Kita tidak akan terkejut sekiranya sehingga 80 peratus memihak kepada PH. Pengundi India pula akan berpecah dua. Namun calon PH dikira mempunyai sedikit kelebihan dari segi pengaruh dan sokongan.

Penulis meramalkan bahawa peratusan yang akan keluar mengundi nanti tidak melebihi 70 peratus. Penulis juga mengambil kira bahawa buat masa ini masih terdapat kurang lebih 15 peratus (kira-kira 3,500) pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan pihak mana yang mereka akan pilih. Pilihan mereka pastinya akan mempengaruhi keputusan PRK Cameron.

Setelah mengambil kira faktor-faktor tersebut dan juga hasil dari beberapa temubual dengan pengundi-pengundi tempatan, penulis membuat kesimpulan bahawa BN sedang mendahului PH dalam peratusan sokongan undi. Jangkaan penulis buat masa ini BN mendahului dengan sokongan kurang lebih 51.5 peratus sementara PH pula di tahap 48.5 peratus. Kelebihan tersebut memberi majoriti kurang lebih 600 undi kepada BN.

PH masih ada beberapa hari untuk berusaha meyakinkan pengundi khususnya pengundi atas pagar untuk memilih mereka. Politik wang dan sogokon yang sering menjadi amalan BN di masa dulu sekarang terbendung di bawah pengawasan yang lebih ketat oleh SPR, sekali gus menjadikan medan perlawanan lebih adil dan saksama bagi pihak-pihak yang bertanding.

PH yang turun padang dengan aura pahlawan David yang berjaya menumpaskan Goliath semasa PRU14 dan sebagai kerajaan pusat yang memerintah pastinya akan berjuang habis-habisan untuk mengekalkan kemenangan mereka. Penulis tidak akan terkejut jika PH sekali lagi dapat meraih kemenangan 'upset' di Cameron Highlands.

Sama-sama kita tunggu dan lihat keputusannya nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!