Fokus tiga ibadah untuk lebih keberkatan
SHAH ALAM - Rutin ibadah dan amalan Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood serta keluarga pada Ramadan tahun ini tidak jauh berbeza seperti kebanyakan keluarga lain.
Menurut pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, beliau sekeluarga lebih menumpukan kepada tiga aktiviti iaitu tadarus al-Quran, solat tarawih dan solat berjemaah lima waktu setiap hari bagi memperoleh lebih keberkatan.
Nik Ahmad Kamal berkata, selepas berbuka puasa, beliau dan isteri, Rose Haliza Haron, 57, serta tiga daripada empat anak mereka iaitu Nik Nashwa Afifah, 32, dan kembar lelaki berusia 27 tahun, Nik Ammar Fawwaz serta Nik Ariff Fahmi akan solat Maghrib berjemaah
Mereka akan berehat seketika sebelum solat Isyak dan bertarawih.
“Saya akan bergilir-gilir dengan dua anak kembar lelaki untuk mengimamkan solat tarawih dan solat lima wktu.
“Selesai tarawih, kami sekeluarga akan teruskan dengan aktiviti tadarus al-Quran sehingga jam 11 malam. Ia turut disusuli dengan pembacaan hadis bagi mendekatkan kami dengan sunah Rasulullah SAW,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Nik Ahmad Kamal berkata, apabila diperhalusi, sebenarnya banyak hikmah yang diperoleh apabila Ramadan tiba dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dulu kita bersolat di masjid dan jarang dapat berjemaah bersama di rumah tetapi kali ini setiap hari kita dapat melakukannya bersama keluarga, malah pada setiap waktu.
“Anak-anak juga tidak lagi culas atau melambatkan waktu solat mereka,” katanya yang mengakui aktiviti itu turut mengeratkan hubungan kekeluargaan antara mereka.
Selain itu, katanya, aktiviti tadarus pula memberi semangat untuk mereka lebih memahami al-Quran dan membaca dengan tajwid yang betul.
Menurutnya, beliau sekeluarga juga mengambil peluang bersedekah secara dalam talian kepada pelbagai pertubuhan dan rumah anak yatim pada Ramadan kali ini.
Sementara itu, ditanya mengenai amalan pemakanan sihat yang menjadi amalan sepanjang berpuasa, Nik Ahmad Kamal berkata, mereka sekeluarga tidak mempunyai amalan pemakanan yang khusus tetapi isterinya akan memastikan setiap masakan tidak terlalu berminyak atau bergula.
“Kami gemar masakan Melayu dan isteri pula memang pandai memasak tapi dia amat menitikberatkan dua perkara itu.
“Tapi ada waktunya kami akan pesan juga makanan yang biasa dijual di bazar Ramadan secara online,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!