TDM nilai kembali doktrin latihan tangani situasi seperti Covid-19
KUCHING - Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menilai kembali doktrin atau falsafah latihan serta kelengkapan yang perlu ada dalam menangani situasi seperti pandemik Covid-19.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, dalam konteks Covid-19, pihaknya akan menggariskan antaranya bagaimana untuk melaksanakan sesuatu operasi dalam situasi ‘musuhnya tidak kelihatan’.
“Kita perlu tubuhkan satu pasukan untuk mengkaji di seluruh negara serta dunia tentang bagaimana pasukan angkatan bersenjata mereka menghadapi musuh yang sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sekatan jalan raya di Sekama di sini hari ini.
Turut serta Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, Panglima Medan Timur Tentera Darat Lt Jen Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Din Abu.
Ahmad Hasbullah berkata, selain daripada musuh yang nyata, pihaknya juga menghadapi ancaman dari segi ideologi seperti ketika era perang dingin dahulu ia membabitkan ideologi komunis dan kapitalis.
“Saya telah arahkan Timbalan Panglima Tentera Darat dan Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat untuk melihat peristiwa yang berlaku ini dan implikasinya terhadap kesiapsiagaan dan juga kebolehan anggota diatur gerak untuk melaksanakan operasi seperti ini,” katanya.
Di Sarawak, seramai 500 anggota TDM diatur gerak di 33 lokasi sekatan jalan raya dan 22 rondaan berkenderaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Satu hingga Fasa Empat.
Di bawah fasa PKP Bersyarat (PKPB) pula, hanya 22 lokasi sekatan jalan raya dan 20 rondaan berkenderaan serta 11 pasukan pemantau dilaksanakan melibatkan atur gerak seramai 369 anggota.
Dalam pada itu, Ahmad Hasbullah berkata, ATM memandang serius keselamatan di sempadan tanah air dengan lebih 5,000 anggota sedang bertugas di seluruh persempadanan Malaysia.
“ATM turut mengatur gerak anggota dan pasukan secara berkala dan bergilir untuk penugasan pengawalan sempadan terutamanya sempadan Malaysia-Kalimantan dan sempadan Malaysia-Brunei.
“Secara kumulatifnya, sebanyak 21 kejayaan yang telah dicapai melalui penahanan, rampasan, pengusiran dan tangkapan hasil daripada rondaan dan kawalan yang lebih ketat di lorong-lorong tikus persempadanan Kalimantan-Sarawak semasa PKP dilaksanakan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!