Jabatan Mufti Perlis keluarkan garis panduan sambutan Aidilfitri

Syed Faizuddin
Syed Faizuddin
A
A
A

KANGAR - Jabatan Mufti Perlis mengeluarkan garis panduan sambutan Aidilfitri di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, garis panduan tersebut telah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Titahnya, panduan berkenaan dikeluarkan selaras dengan tuntutan untuk membesarkan sambutan Aidilfitri, serta keperluan untuk disesuaikan dengan situasi penularan wabak semasa.

“Ia dibuat setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” titahnya menerusi suatu kenyataan di sini hari ini.

Syed Faizuddin bertitah, panduan berkenaan merangkumi takbir hari raya, solat hari raya, khutbah hari raya, amalan-amalan sunnah di hari raya serta kewajipan zakat fitrah.

"Risalah panduan berkenaan boleh dimuat turun melalui pautan khas di portal rasmi Jabatan Mufti Perlis.

"Manakala teks khutbah sama ada dengan kaedah dua khutbah atau satu khutbah juga boleh dimuat turun dari portal rasmi Jabatan Mufti Perlis," titahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Umat Islam di Perlis disaran solat sunat Aidilfitri di rumah

Selasa lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan umat Islam di negeri ini untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga masing-masing berikutan lanjutan PKPB sehingga 9 Jun.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!