Orang politik asyik tamak kuasa

A
A
A

SUDAH nampak tanda-tanda keadaan akan pulih seperti sedia kala, Alhamdulilah.

Selepas lebih dua bulan tiada solat berjemaah akibat wabak Covid-19, sebahagian masjid telah dibenarkan mengadakan solat Jumaat.

Seperti dilaporkan media semalam, beberapa masjid mula mengadakan solat Jumaat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyebut masjid dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan mengadakan solat Jumaat dan solat berjemaah secara berperingkat.

Seperti yang diberitahu bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Maka ramai berharap solat sunat Aidilfitri tahun ini dapat dilakukan semula di masjid dan surau seperti tahun-tahun sebelumnya.

BERITA baik juga setelah sekian lama dilanda kemurungan ekonomi akibat Covid-19, pasaran saham kita menunjukkan perubahan positif.

Seperti dilaporkan semalam Bursa Malaysia tinggi ketika dibuka seiring dengan kenaikan dalam tempoh semalaman di Wall Street.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KCLI (FBM KLCI) naik 5.13 mata kepada 1,402.56 daripada 1,397.25 ketika ditutup semalam.

Artikel Berkaitan:

Marilah kita sama-sama berdoa agar Bursa terus positif, Covid-19 makin negatif.

TETAPI jangan berasa terlalu selesa dan lega kerana kita masih belum bebas dan sentiasa berhadapan dengan kemungkinan dijangkiti virus maut itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bimbang terhadap penyebaran Covid-19 oleh penghidap tidak bergejala, yang katanya, merupakan ‘berita yang tidak baik’.

Peningkatan hasil kajian menunjukkan penghidap tidak bergejala nampaknya mempunyai beban virus (viral load) yang sama dengan kes bergejala.

Kalau kita mampu menyebarkan virus walaupun kita tidak bergejala, ia mampu menyebabkan lebih banyak jangkitan komuniti (jangkitan yang sumbernya tidak diketahui, atau hubungan kontaknya tidak dapat dikenal pasti).

Maka kena sentiasa ingat kita masih dalam bahaya Covid-19, patuhi peraturan PKP, tingkatkan kebersihan diri.

SEBAHAGIAN kawasan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur telah disekat dengan kawat duri sejak semalam sebagai langkah mengekang Covid-19.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim mengatakan bahawa pihak berkuasa memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu.

“Bukan lockdown tapi memperkemas dan memperkasa PKP, bukan PKP Diperketatkan... serupa macam kita buat di Pasar Raja Bot (Pasar Chow Kit),” katanya.

Ertinya kalau kita tidak berhati-hati dan alpa, virus maut itu mungkin akan mengancam kita lebih lama lagi.

KETIKA kita berdepan dengan wabak berbahaya yang telah meragut ratusan nyawa, pemain politik kita masih tidak habis-habis bertelagah.

Di Kedah kecoh kerana ADUN berpaling tadah tidak percaya kepada Menteri Besar, dan kerajaan negeri yang ada hendak ditukar lagi.

Di Perak keadaan tegang juga sehingga Speaker meletak jawatan dan digantikan dengan orang baharu.

Di Melaka Negeri Bersejarah keadaan sidang Dewan Negeri lebih gawat dengan sesama ADUN saling maki-hamun dalam persidangan, macam budak-budak.

Kemudian dikatakan ada pula usul tidak percaya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Rakyat makin ramai mati akibat Covid-19, beratus ribu orang tidak ada duit akibat hilang pekerjaan, ada yang tinggal dalam sampah, ada yang terlantar di hospital... dan orang politik kita, tidak kira parti, asyik berkelahi merebut kuasa. Apa ini? Tidak bolehkah untuk sementara ini semua bersatu memikirkan masalah rakyat?

AKHIR kalam, sejak PKP dikuatkuasakan, memang terasa banyak benda tersekat.

Ada ibu di kampung rindukan anak terutama menjelang raya kerana tidak boleh berjalan merentasi negeri.

Ada isteri tidak boleh berjumpa suami kerana bertugas di lain negeri.

Tok sendiri sudah lama tidak berjumpa dengan tukang gunting sebab semua tempat gunting rambut masih ditutup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!