KPDNHEP siasat kenaikan harga ayam
SEKINCHAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat beberapa aduan berhubung kenaikan harga ayam sejak beberapa hari lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya telah mengarahkan penguat kuasa KPDNHEP melakukan siasatan berhubung aduan berkenaan.
Malah, katanya, beliau sendiri menerima lima aduan di aplikasi WhatsApp dan media sosial Facebook berhubung kenaikan harga ayam sehingga RM9. 60 sekilogram.
"Saya anggap kenaikan mendadak ini melampau dan ia jelas merupakan satu kesalahan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di sebuah jeti pendaratan ikan di Sekinchan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Fenomena biasa menjelang raya!
Ayam mentah naik harga!Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terutama sebelum penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Aidilfitri, Selasa ini.
"Mungkin faktor kenaikan harga ayam ini berlaku disebabkan sikap tamak dan tidak beretika pihak terbabit dengan mengaut keuntungan tidak sepatutnya," katanya.
Rosol berkata, pada masa ini beliau difahamkan bekalan ayam mencukupi dan biasanya harga ayam dijual sekitar RM5. 50 sekilogram.
"Malah semasa awal Ramadan lalu saya difahamkan sebuah tempat di Terengganu menjual tiga ekor ayam dengan hanya RM10, namun apabila penghujung Ramadan ini harganya naik mendadak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!