Pengaruh rakan, peluang kerja antara faktor kebanjiran PATI

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KAJANG - Pengaruh rakan, banyak peluang pekerjaan berbanding di negara sendiri, tempat tinggal selesa, mahu mengubah nasib hidup, selain faktor tukaran mata wang tinggi menjadi antara sebab golongan pendatang tanpa izin (PATI) terus menerus memasuki Malaysia.

Apabila kemasukan mereka ini tidak terkawal ia menimbulkan pelbagai masalah bagi negara tuan rumah walaupun sememangnya ia memerlukan tenaga kerja asing dalam membantu membangunkan negara selain menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi.

Selain itu, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Imigresen juga sedikit sebanyak berhadapan kesulitan untuk membanteras kemasukan PATI ini dan terpaksa bekerja keras untuk memberkas mereka.

Menerusi rekod oleh pihak Jabatan Penjara sehingga 13 Mei lepas, lebih 20 peratus penghuni penjara di seluruh negara ini adalah warga asing dengan pelbagai kesalahan termasuk memasuki negara ini tanpa izin membabitkan 14,564 orang. Ini belum mengambil kira ribuan lagi PATI yang masih bebas di luar.

Seorang pendatang tanpa izin dari Kathmandu, Nepal, yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 31, telah memasuki Malaysia menggunakan pasport pelancong pada tahun 2008 dan tertarik dengan peluang pekerjaan ditawarkan menerusi kenalannya.

“Saya, masa itu umur 18 tahun, dengar ada banyak kerja daripada kawan saya dan pergi pinjam duit dengan rakan untuk beli tiket kapal terbang bagi cuba nasib di Malaysia.

“Mula-mula saya kerja di kilang besi di Selangor, tapi saya berhenti tahun 2010 sebab dapat kerja baru jadi pengawal keselamatan dan gaji lebih mahal,” katanya kepada Bernama di Penjara Kajang, di sini.

Ali berkata, dia mampu memperoleh bayaran gaji RM2,220 sebulan dan perkara itu berbeza di negaranya sendiri yang sukar untuk mendapat kerja atau menerima bayaran gaji tinggi dalam satu-satu pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Saya salah sebab tidak mohon permit, tapi saya cukup selesa tinggal dan kerja di sini (Malaysia),” katanya yang berada di negara ini secara haram selama 13 tahun.

Ali dipenjarakan pada tahun lepas atas kesalahan tidak mempunyai permit sah untuk bekerja dan dia pula mengakui tidak berasa serik untuk kembali mencari pekerjaan di negara ini selepas dibebaskan pada suatu hari nanti.

Sementara itu, seorang lagi pendatang tanpa izin dari Dhaka, Bangladesh yang hanya mahu dikenali sebagai Salman, 33, telah memasuki negara ini menggunakan pas pelancong pada tahun 2006.

“Saya masuk Malaysia masa umur 17 tahun dan ada kerja di kilang besi dan kilang bas selama 13 tahun dan ada permit sah.

“Tapi, ada majikan tempat saya kerja tidak sedia kemudahan untuk pekerja asing seperti perubatan dan tidak jaga pasal kesihatan,” katanya yang masih mempunyai ibu bapa, isteri termasuk dua orang anak masing-masing lelaki dan perempuan,” katanya.

Salman berkata, dalam budaya masyarakat Bangladesh, hanya ketua keluarga sahaja yang keluar mencari rezeki.

“Jadi, saya cuba nasib kerja di Malaysia dan dapat tidak kurang RM1,200,” katanya sambil menambah kesemua duit gajinya dikirim kepada keluarganya.

Jelas Salman, beliau juga mengalami masalah untuk memperbaharui permitnya dari semasa ke semasa kerana ditipu oleh ejen yang berasal dari negara yang sama ketika menguruskan permit.

“Masa itu, saya sedia RM7,000 untuk baharui permit tapi tidak sampai ke tangan saya, lagi saya kena ugut jika saya lapor (perkara) ini kepada polis,” katanya yang melarikan diri dari tempat kerja di Kajang.

Salman bagaimanapun ditahan dan dipenjara pada tahun lepas dalam satu serbuan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!