13 mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan

Azhan (tengah) menunjukkan air ketum yang dirampas di sebuah pusat hiburan di Yong Peng, Batu Pahat.
Azhan (tengah) menunjukkan air ketum yang dirampas di sebuah pusat hiburan di Yong Peng, Batu Pahat.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis daerah ini berjaya menyelamatkan 13 wanita warga Vietnam daripada dijadikan mangsa eksploitasi seks dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Yong Peng di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, seramai 42 pelanggan pusat hiburan berkenaan diperiksa dalam serbuan kira-kira jam 1.30 pagi.

“Empat lelaki tempatan ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom 2007).

“Polis juga turut menangkap dua lelaki lagi kerana memiliki 370 biji pil Eramin 5, 1.85 gram syabu, 0.86 gram ketamin dan 20 botol air ketum,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, petang tadi.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan sepasukan polis terdiri daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman, Bahagian Antipemerdagangan Manusia (D7C) Bukit Aman dan IPD Batu Pahat.

“Kesemua tangkapan kemudian dibawa balik ke IPD Batu Pahat untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasil pemeriksaan mendapati seramai 24 suspek positif dadah dan dua daripadanya merupakan anggota polis dari IPD Batu Pahat.

Azhan berkata, sepanjang tahun 2018, sebanyak tiga serbuan dibuat di lokasi yang sama oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan IPD Batu Pahat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1052 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

“Bagi kesalahan memperdagangkan manusia, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Atipsom 2007 kerana mengeksploitasi manusia bagi tujuan seks dan Akta Imigresen,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!