Pemandu teksi harap bantuan berterusan
SEREMBAN - Persatuan Muhibah Pemandu Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Bandar Seremban, terpaksa mengeluarkan wang simpanan persatuannya sebanyak RM25,000 bagi membantu meringankan beban hidup kepada seramai 80 ahlinya.
Pengerusinya, P Ravichantar, 55, berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu, sehingga kini mata pencarian mereka terjejas.
"Hampir dua bulan kami tidak bekerja, semua simpanan yang ada kami terpaksa guna untuk menampung keperluan keluarga. Bagaimana pun, kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang memberi bantuan sebanyak RM900 kepada pemandu teksi dan juga RM300 daripada kerajaan negeri yang begitu prihatin dengan masalah kami ini.
"Bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami dalam menguruskan perbelanjaan harian keluarga," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan raya kepada semua ahli Persatuan Muhibah Pemandu Pemandu Kereta Sewa dan Teksi Bandar Seremban dekat sini hari ini.
Tambahnya, sebelum ini pihaknya telah memberi sumbangan sebanyak RM100 kepada semua ahli berdaftar dan pada kali ini tambahan RM200 lagi diberikan kepada ahlinya.
Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan dapat memberi bantuan sekali lagi sempena Aidilfitri kepada semua pemandu teksi seluruh Malaysia.
Katanya, bantuan kali kedua sangat diperlukan, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan sehingga 9 Jun yang bakal memudaratkan lagi pendapatan mereka.
"Walau pun kerajaan sudah memberi sedikit kelonggaran melalui PKPB, tetapi kami masih tidak mempunyai pelanggan yang ingin menggunakan kereta sewa atau teksi, pendapatan kami merosot sepenuhnya sejak dua bulan lebih ini.
"Kami berharap ada bantuan daripada kerajaan dan juga kerajaan negeri secara berterusan bagi membantu golongan terjejas seperti kami ini,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!