Dendam Emery terhadap Ozil belum berakhir
BEKAS pengendali Arsenal, Unai Emery tampil mendedahkan keburukan pemain tengah The Gunners, Mesut Ozil ketika di bawah bimbingannya di kelab itu.
Menurut Emery, Ozil tidak mempunyai komitmen dan sikap yang baik sebagai seorang pemain dan juga kapten pasukan.
Pemain Jerman itu sentiasa berada dalam kesebelasan utama Arsenal dengan Emery menegaskan dia sentiasa bersifat positif dengan apa yang dilakukan oleh Ozil.
Namun, prestasi tidak konsisten sering memberikan masalah buat Emery dan mendakwa pemain Arsenal tidak mahu Ozil dilantik sebagai kapten pasukan.
"Pada akhirnya, dia (Ozil) perlu melihat kembali kepada dirinya sendirinya. Bagaimana dengan sikap dan komitmennya dalam dan di luar padang.
"Saya sudah cuba sedaya upaya untuk membantu Ozil. Sepanjang karier saya sebagai pengurus, pemain berbakat sentiasa menjadi keutamaan saya dan mereka akan bermain pada tahap terbaik di bawah bimbingan saya.
“Saya sentiasa positif dengan Ozil dan menunggunya untuk 'kembali' dalam pasukan tetapi sikap dan komitmennya tidak pernah mencapai apa yang saya harapkan.
"Dia mungkin antara calon kapten di mata penyokong, tetapi di bilik persalinan, pemain lain tidak mahu dia jadi kapten, " katanya.
Emery turut mengambil contoh komitmen tidak baik ditunjukkan Ozil ketika kekalahan 1-4 kepada Chelsea dalam aksi final Liga Europa tahun lalu.
"Saya tidak mempunyai masalah dengan aksinya dalam perlawanan itu. Tetapi, saya kecewa dengan komitmennya yang tidak hadir perbincangan dengan pengurus selepas kekalahan tersebut.
"Semua pemain lain datang kecuali Ozil. Saya tidak tahu mengapa dia tidak datang. Itu menunjukkan dia tidak mempunyai komitmen," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!