Sembilan beranak tinggal sehelai sepinggang
KUALA TERENGGANU - Sembilan beranak membabitkan dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kedai dua tingkat berusia 85 tahun yang didiami mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 malam di Kampung Beladau Kepong turut menjejaskan punca pendapatan keluarga tersebut kerana bakeri, kedai makan, kedai runcit dan tempat pemprosesan ayam yang diuruskan mereka turut hangus.
Menurut mangsa, Nor Suriani Sulong, 35, sebelum kejadian, beliau bersama empat lagi adik beradik termasuk ibunya, Minah Che Mat, 65 sedang berbual di ruang tamu rumah sebelum terdengar bunyi 'pelik'.
"Kami menyangkakan tikus berlari kerana sangat perlahan sebelum abang, Mat Lazim Sulong yang ada bersama ternampak asap hitam dari salah sebuah bilik di tingkat atas.
"Dia terus menjerit 'api' dan menyuruh kami semua keluar rumah tetapi, kami cuba juga memadamkan api namun gagal kerana begitu cepat merebak.
"Bimbang melihat api marak, kami keluar dari rumah sebelum ibu ke rumah sepupu berhampiran untuk meminta bantuan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi hari ini.
Nor Suriani berkata, mereka keluar dari rumah dengan sehelai sepinggang dan hanya berkaki ayam tanpa sempat mengambil barang berharga termasuk wang tunai hasil perniagaan yang disimpan di dalam bilik berjumlah keseluruhan hampir RM50,000.
"Memang kami teringat semua barang-barang itu terutama yang bernilai dan penuh dengan kenangan bersama arwah ayah tetapi apakan daya dalam itu, hanya fikir mahu menyelamatkan nyawa kami sahaja.
"Kami bernasib baik kerana kebetulan semasa kejadian, empat lagi penghuni tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa di rumah saudara berhampiran," katanya.
Katanya lagi, mereka percaya berkemungkinan kebakaran berlaku kerana litar pintas daripada salah satu suis yang digunakan salah seorang abangnya untuk mengecas telefon bimbit di dalam bilik berkenaan.
Jelasnya lagi, akibat kejadian, mereka terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta termasuk barang-barang dan kelengkapan perniagaan yang tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10 malam dan 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Wakaf Tapai dan Kuala Berang digerakkan ke lokasi.
"Ketika sampai di lokasi, api sedang marak dan pihak kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal serta memadamkan kebakaran.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!