Segerakan digitalisasi sektor pendidikan: MB Selangor
SHAH ALAM - Peralihan sektor pendidikan ke arah digital perlu dipercepatkan susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun Covid-19 merupakan sejarah getir tetapi perlu dijadikan peluang untuk melaksanakan perubahan sektor pendidikan.
Beliau berkata, beberapa aktiviti harian seperti urusan jual beli makanan dan barangan runcit dilakukan melalui aplikasi telefon pintar sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Usaha ini dapat meneruskan perkembangan ekonomi sambil menjaga kesihatan masyarakat tetapi bidang pendidikan tidak harus ketinggalan," katanya melalui Perutusan Hari Guru 2020 hari ini.
Amirudin berkata, di samping merancakkan perkembangan digitalisasi dalam pendidikan, beliau juga berpendapat tenaga pengajar di Selangor dapat memainkan peranan penting membantu pelajar bersedia menghadapi cabaran industri akan datang.
"Selain aspek pemahaman berkaitan masyarakat dan budaya, penting bagi kita menghargai kemajuan tamadun serta membuka ruang kepada solusi yang dihadapi masyarakat seperti kesihatan mental serta psikologi," katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, sambutan Hari Guru pada tahun ini diraikan ketika negara menghadapi cabaran yang paling hebat sejak selepas zaman kemerdekaan.
Katanya, krisis virus Covid-19 telah menghentikan aktiviti biasa dan mendesak masyarakat menyesuaikan diri kepada normal baharu.
"Di Selangor, kita telah melancarkan platform e-learning melalui selangortutor.com untuk membantu pelajar kita terus mengembangkan ilmu dengan kebiasaan baharu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!