Pos Malaysia lancar setem edisi terhad Aidilfitri

Setem Hari Raya Aidilfitri 2020 berharga RM25 untuk setiap helaian setem dengan nilai muka RM0.60 untuk setiap setem. - Foto Twitter Pos Malaysia Berhad
Setem Hari Raya Aidilfitri 2020 berharga RM25 untuk setiap helaian setem dengan nilai muka RM0.60 untuk setiap setem. - Foto Twitter Pos Malaysia Berhad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pos Malaysia melancarkan koleksi setem edisi terhad sempena perayaan Aidilfitri yang memaparkan gabungan elemen seni reka Islamik Arabes dan kaligrafi Kufi.

Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, koleksi setem edisi terhad itu boleh dibeli secara dalam talian mulai sekarang di www.eziemall.com dan atau di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara mulai 18 Mei.

"Setem Hari Raya Aidilfitri 2020 ini berharga RM25 untuk setiap helaian setem dengan nilai muka RM0.60 untuk setiap setem. Pengumpul setem, peminat dan orang ramai harus memiliki koleksi ini kerana hanya dicetak dalam jumlah terhad sebanyak 1,000 lembaran sahaja.

"Manakala reka bentuk setem Hari Raya Aidilfitri 2020 ini membawa maksud erti dan nilai perayaan hari raya seperti ‘Kemenangan’ dalam menghadapi dugaan di bulan Ramadan dan keadaan yang mencabar, ‘Kesyukuran’ di atas segala kurniaan yang diterima semasa bulan yang mulia ini dan ‘Keikhlasan’ yang mencerminkan sifat jujur di dalam semua perkara terutama pada masa-masa yang sukar ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata melalui siri setem unik itu, Pos Malaysia berharap ia dapat melahirkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia dan saling menerima kepercayaan serta budaya berbeza dan paling utama, sentiasa bersatu serta menjaga kebajikan satu sama lain terutama sepanjang tempoh yang mencabar ini.

Sempena Aidilfitri ini juga, Syed Md Najib berkata, Pos Malaysia ada menawarkan kempen dalam talian #RayaDiRumah untuk membantu usahawan kecil dan sederhana tempatan serta peniaga dengan mempromosikan perniagaan dan produk mereka.

"Melalui kandungan media sosial #RezekiDiKongsi di Instagram dan Twitter, Pos Malaysia membolehkan para peniaga dalam talian berhubung dengan pelanggan melalui iklan di media sosial dan penglibatan sosial serta berkongsi tip membeli-belah dan peringatan mengenai hari terakhir pengeposan untuk hari raya," katanya.

Beliau juga berkata, pengumpul setem dan orang ramai boleh membuka Akaun Deposit Arahan Tetap (SODA) untuk memudahkan pembelian koleksi setem terkini serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan SODA.

Artikel Berkaitan:

"Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara ataupun secara dalam talian di www.posonline.com.my," katanya.

Syed Md Najib turut mengingatkan semua pelanggan untuk mengepos bungkusan Pos Laju dan Mel sebelum 18 Mei serta kad ucapan hari raya sebelum 20 Mei bagi memastikan serahan dapat dilakukan sebelum Aidilfitri.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!