Majlis angkat sumpah MB Kedah baharu dijangka esok?
ALOR SETAR - Persiapan majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah baharu menggantikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dijangka berlangsung esok dipercayai sedang dilakukan.
Tinjauan media di sekitar Wisma Darul Aman di sini mendapati kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah sedang membuat persiapan untuk pelantikan Menteri Besar Kedah itu.
Terdahulu, kenderaan membawa Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dilihat memasuki Wisma Darul Aman disusuli kenderaan lain dipercayai membawa peralatan untuk majlis angkat sumpah itu.
Bagaimanapun, suasana di pekarangan Wisma Darul Aman di sini, hari ini kekal tenang dan tidak kecoh meskipun peralihan kuasa pentadbiran dijangka berlaku di negeri ini.
Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka dilantik sebagai Menteri Besar Kedah Ke-14.
Mukhriz turut dijangka melakukan satu sidang media sebelah pagi esok, manakala Pas Kedah pula dipercayai akan mengadakan sidang media di Kompleks Pas Kedah pada sebelah petang selepas majlis angkat sumpah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!