Sebutan kes saman Putrajaya-Kerajaan Negeri Kelantan 22 Januari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman yang difailkan Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dan tujuh lagi untuk mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang, akan disebut 22 Januari ini.

Menurut senarai kes mahkamah, kes itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut sumber, saman itu difailkan Jabatan Peguam Negara (AGC) mewakili Kerajaan Persekutuan Isnin lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu beserta dengan sijil perakuan segera.

[ARTIKEL BERKAITAN:Putrajaya saman Kerajaan Negeri Kelantan]

“Pihak kami menerima salinan pernyataan tuntutan yang disahkan daripada mahkamah pada Selasa dan pihak kami juga dalam proses untuk menyerahkan pernyataan tuntutan itu kepada kerajaan negeri Kelantan dan beberapa defendan lain,” katanya.

Beliau berkata, ada beberapa defendan telah pun menerima salinan pernyataan tuntutan itu daripada AGC.

Ditanya mengenai prosiding pada 22 Januari ini, sumber itu memberitahu bahawa mahkamah mungkin akan mendengar permohonan Kerajaan Persekutuan selaku plaintif tunggal dalam saman itu, untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang pencerobohan dan pemusnahan tanah adat demi keuntungan komersial pihak swasta.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Kerajaan Persekutuan menamakan Fleet Precision Sdn Bhd, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Berhad, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Berhad sebagai defendan pertama hingga kelapan.

Artikel Berkaitan:

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam kenyataan media hari ini, berkata buat pertama kali sejak kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan prosiding mahkamah bagi pihak Orang Asli dalam memberikan pengiktirafan tanggungjawab perlembagaan dan perundangan untuk melindungi, serta menggalakkan kesejahteraan dan kemajuan mereka.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan dan agensinya baru-baru ini telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta, dan dengan menggunakan jentera berat mereka telah menebang dan membawa keluar kayu balak dari kawasan hutan yang luas, yang diterangi untuk dijadikan ladang durian dan pokok getah.

Namun, katanya, kerajaan Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan atau menawarkan apa-apa pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan Orang Asli.

Thomas berkata, tindakan itu telah mengakibatkan Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap Pos Simpor.

Katanya walaupun kerajaan negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkaitan tanah, perhutanan dan galian, namun mereka turut terikat dengan kewajipan utama dan tidak boleh diketepikan untuk melindungi dan memelihara kesejahteraan Orang Asli Temiar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!