Saman trafik tertunggak hampir RM4.7 bilion

Azisman Alias
Azisman Alias
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah saman trafik tertunggak sejak tahun 2000 hingga pertengahan Mei ini dianggarkan berjumlah RM4.7 bilion membabitkan 39.5 juta saman.

Justeru, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mengingatkan mereka yang mempunyai tunggakan saman dapat menyelesaikannya dengan segera.

"Sekiranya anda gagal selesaikan tunggakan saman, ia akan menyukarkan untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, dalam satu kenyataan, Azisman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun hingga 50 peratus bagi bayaran saman terpilih yang dibuat secara dalam talian, selama empat hari dari 18 hingga 21 Mei ini.

Pembayaran saman dalam talian itu perlu dibuat menerusi portal myeg dan portal Rilek.

Diskaun itu ditawarkan kerana memahami kekangan kewangan yang dihadapi orang ramai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan persediaan menyambut Aidilfitri.

Selain itu, JSPT juga akan membuka kaunter perkhidmatan membabitkan pembayaran saman serta pembekalan dokumen kemalangan di semua ibu pejabat polis daerah dan kontinjen secara berperingkat, mulai 18 Mei ini yang bertujuan memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman dan pembekalan dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.

Bagi kontinjen Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, kaunter akan dibuka pada Isnin dan Rabu dari jam 9 pagi hingga 2 petang serta Jumaat (9 pagi hingga 12 tengah hari).

Artikel Berkaitan:

Bagi kontinjen di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu pula, kaunter akan dibuka pada Isnin, Rabu serta Ahad dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!