Tawar belia kerja di pasar borong KL tepati situasi semasa
KUALA LUMPUR - Isu kebergantungan kepada pekerja asing dalam pelbagai sektor ekonomi negara banyak berlaku sehingga menyebabkan negara dibanjiri warga asing yang secara tidak langsung memberi kesan negatif dalam pelbagai aspek.
Justeru, kerajaan perlu mencari inisiatif terbaik bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan menawarkan pelbagai insentif yang mampu menarik minat golongan muda supaya menyertai sektor pekerjaan yang biasanya warga asing dominasi.
Rabu lalu, Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia yang menganggur dengan gaji RM2,400 sebulan berikutan warga asing tidak dibenarkan bekerja di sana.
ARTIKEL BERKAITAN: Belia diperlukan di Pasar Borong Kuala Lumpur
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia juga antara usaha bagi membantu golongan muda yang hilang pekerjaan dan menganggur akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Senada dengan cadangan itu, Timbalan Dekan (Pra Siswazah dan Alumni) Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Norashidah Mohamed Nor berkata, ia bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa yang terjejas akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
“Ramai yang hilang punca pendapatan pada masa kritikal ini dan pada masa yang sama berhadapan dengan kos sara yang tinggi. Jadi, keutamaan peluang pekerjaan memang sepatutnya diberi kepada rakyat tempatan.
“Gaji yang ditawarkan sehingga RM2,400 bersesuaian dengan waktu bekerja di pasar borong. Walaupun ia (gaji) agak tinggi tetapi untuk jangka panjang memberi kesan positif kepada ekonomi negara terutama dalam mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.
Bagi Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Dr Jamal Othman, kekangan dalam penawaran tenaga kerja asing akan meningkatkan kadar upah dan menarik guna tenaga tempatan serta mengurangkan kadar pengangguran.
“Kita dapati ramai anak tempatan di seluruh negara yang sanggup melakukan pelbagai kerja dengan kadar upah kurang dari RM2,000 sebulan.
“Jika kerajaan menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia menganggur dengan gaji RM2,400 sebulan saya fikir ia satu tawaran yang menarik,” katanya.
Menurut Jamal, pasar borong memainkan peranan sangat penting dalam ekonomi terutama dari segi konteks rantaian bekalan makanan, keselamatan makanan serta harga yang berpatutan dan ia seharusnya didominasi pekerja tempatan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Wan Mohd Husni Abdullah berkata peluang kerja serta tawaran gaji itu dilihat amat relevan serta bersesuaian dengan keadaan semasa.
“MBM yakin golongan belia Malaysia mempunyai pelbagai kemahiran yang boleh dipraktikkan di dalam sektor ini, asalkan mereka tidak terlalu memilih pekerjaan.
“Kawasan persekitaran juga pasti akan lebih bersih dan selamat daripada dibanjiri warga asing seperti sebelum ini dan orang awam juga akan rasa lebih selesa apabila berurus niaga dengan orang tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohd Husni turut menyarankan supaya peluang pekerjaan itu ditawarkan kepada bekas banduan yang mahu mengubah hidup mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!