Tiga parah kereta bertembung Rapid Penang
GEORGETOWN - Dua lelaki parah manakala seorang lagi belum disahkan tahap kecederaan selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas Rapid Penang di Jalan Teluk Bahang/ Batu Feringghi di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 malam ketika mangsa yang berusia 18 hingga 22 tahun itu dalam perjalanan dari arah Batu Feringghi menuju ke Teluk Bahang.
Menurutnya, sebaik tiba di satu selekoh, kereta Proton Persona yang dipandu lelaki berusia 19 tahun bertembung dengan sebuah bas Rapid Penang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-dua kenderaan rosak di bahagian hadapan.
"Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta mengalami gegaran di kepala, cedera di paru-paru kanan, patah paha dan cedera di lutut kiri.
"Penumpang hadapan berusia 18 tahun patah paha kanan dan tangan kiri. Sementara penumpang belakang yang berusia 22 tahun belum dapat disahkan tahap kecederaannya kerana masih berada dalam bilik pembedahan. Kesemua mangsa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, ketika kejadian, tiada penumpang di dalam bas dan pemandu bas yang berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan masih dijalankan dan polis akan mendapatkan rakaman kamera dari bas berkenaan. Siasatan awal mendapati pemandu kereta tidak berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!