Pejabat agensi pelancongan dibenarkan beroperasi
PUTRAJAYA - Pejabat agensi pelancongan di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, namun kebenaran itu untuk tujuan pentadbiran, kewangan, pengurusan dan penjualan sahaja.
"Mereka juga boleh menyediakan pakej pelancongan sebagai persediaan pada masa hadapan jika kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan dimulakan.
"Setakat hari ini, aktiviti pelancongan masih dalam senarai terlarang,” katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyurat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Sementara itu, menurutnya, isu pemulangan bayaran tempahan pelancongan kepada pelanggan perlu diselesaikan dengan ejen pelancongan kerana melibatkan perjanjian antara dua pihak.
"Dalam aspek kemanusiaan, mereka (ejen) perlu memulangkan (wang) kerana pelanggan bukan membatalkan atas kehendak mereka tetapi terbatal selepas polisi larangan ditetapkan.
"Harap mereka dapat berbincang. Kalau tak dapat pulangkan duit, mungkin boleh bawa pakej yang ditempah itu pada masa depan. Jadi tidak merugikan kedua-dua pihak," katanya.
Katanya, kerajaan tidak terlibat dalam isu berkenaan namun sudah meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membantu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!