Pelancong terkandas tinggalkan Tioman bersama kenangan manis
ROMPIN - Setelah terkandas di Pulau Tioman hampir dua bulan, pelancong Perancis Catroux Christian dan isterinya, Marie Claire, 66, adalah antara 17 pelancong asing yang akhirnya meninggalkan pulau itu pada Jumaat, dengan membawa bersama kenangan manis semasa tinggal di sana.
"Saya tidak mengharapkan apa-apa yang istimewa pada hari ulang tahun ke-67 saya pada 1 Mei, tetapi ia menjadi kenangan paling manis yang akan saya ingat selama-lamanya," katanya mengenang kembali kenangan indah yang dilaluinya di pulau itu.
Christian memberitahu Bernama, pada mulanya ketika dia mendengar ketukan di pintu biliknya pada pagi 1 Mei, dia tidak menghiraukannya kerana dia dan isteri tidak menanti kedatangan tetamu, selain masih awal untuk kakitangan hotel mengemas bilik.
"Tetapi ketukan itu tidak berhenti. Bila saya membuka pintu, terkejut saya, kakitangan hotel menyanyikan lagu selamat hari jadi dengan kek di tangan dan meminta saya meniup lilin. Memang tidak dijangka dan ia suatu menggembirakan saya dan isteri kerana kami tertekan sedikit sehari sebelumnya.
"Kami tiba di Pulau Tioman pada pertengahan Mac dan awalnya merancang untuk tinggal di sana selama seminggu. Kami telah membeli tiket untuk meneruskan percutian kami di Jakarta, Bandung dan Bali di Indonesia. Tetapi kami terkandas di pulau itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Jeti Tanjung Gemok di sini, pada Jumaat.
Christian dan isteri adalah antara 17 pelancong asing dari pelbagai negara seperti Itali, Sweden, Jerman dan United Kingdom, yang terkandas di pulau itu kerana pelaksanaan PKP.
Walaupun percutian mereka tidak berjalan seperti dirancang, Christian dan isteri bersyukur berada di Pulau Tioman kerana tiada kes positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan di pulau itu.
Bagi rakan senegara, Hobert Benjamin, 42, PKP membolehkannya melihat 'keramahan Malaysia' yang sebenar apabila kakitangan hotel, pihak berkuasa dan penduduk tempatan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memastikannya dalam keadaan baik setelah terkandas di pulau itu sejak 17 Mac.
"Kakitangan hotel bertanya tentang keadaan saya hampir setiap hari dan memberitahu saya supaya tidak segan untuk meminta pertolongan jika saya memerlukan sesuatu. Saya juga dapat mencuba pelbagai makanan tempatan seperti nasi kandar, nasi ayam dan beberapa kuih, terima kasih kepada penduduk tempatan yang memperkenalkannya kepada saya," katanya.
‘Terperangkap’ di pulau itu memberi peluang kepada Benjamin bertemu dua lagi rakan senegara, Francois Parnet, 28, dan Margot Desbois, 25, yang juga berasal dari bandar yang sama dengannya di Rennes, Perancis dan ketiga-tiganya menjadi kawan rapat serta merancang untuk berjumpa apabila balik ke Perancis.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata, kerajaan negeri menyediakan bot laju untuk membawa pelancong asing ke tanah besar sebelum mereka menaiki bas ke Kuala Lumpur.
"Kesemua mereka menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk ujian suhu badan yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan hanya mereka tidak mempunyai gejala Covid-19 yang dibenarkan menaiki bot," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!