Kehilangan ahli perniagaan berpangkat Datuk terjawab
PORT DICKSON - Kehilangan seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk sejak Khamis lalu terjawab apabila dia ditemui maut dalam belukar selepas terlibat kemalangan di Kilometer 10 Jalan Seremban-Port Dickson di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, R Rajasegan, 45, ditemui pada jam 10.30 pagi di dalam kereta jenis BMW oleh polis yang melakukan rondaan di lokasi kejadian.
"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu dari arah Port Dickson menuju ke Lukut di sini sebelum kenderaannya hilang kawalan dan terbabas ke kawasan belukar berhampiran," katanya.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Katanya, Rabu lalu isteri mangsa ada membuat laporan berhubung kehilangannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!