Silap langkah semua rugi
SAYA telah menulis mengenai bagaimana kerajaan di dunia memberi keutamaan kepada kelangsungan sistem perbankan dalam usaha menyelamatkan ekonomi daripada kesan koronavirus (Covid-19).
Dalam apa keadaan sekali pun, perkhidmatan bank diperlukan bukan sekadar untuk menyimpan dan mengeluarkan mata wang, tetapi lebih daripada itu.
Kita boleh umpamakan sistem perbankan seperti minyak petrol yang menghidupkan enjin kenderaan atau udara yang membolehkan kita bernafas.
Oleh sebab itu semua negara memerlukan dan memberi keutamaan kepada pelantikan seorang ketua turus kewangan iaitu Menteri Kewangan yang cekap, berwibawa dan dihormati.
Seorang raja, presiden atau Perdana Menteri boleh buat kesilapan sekali-sekala yang memberi kesan negatif kepada ekonomi negara, tetapi kalau seorang Menteri Kewangan melakukan kesilapan, kesannya akan terasa dengan serta-merta dan menyeluruh.
Oleh sebab itu negara di dunia berlumba-lumba mempertahankan sistem kewangan dan perbankan dengan melantik Menteri Kewangan dan Gabenor bank pusat yang terbaik.
Umumnya orang ramai kurang faham atau ambil peduli mengenai kewangan dan perbankan kecuali apabila menyentuh kepentingan mereka.
Kita ambil contoh tindakan kerajaan menangguhkan pembayaran balik pinjaman kepada bank selama enam bulan mulai 1 April lalu sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi. Kemudian timbul kekeliruan mengenai faedah yang terkumpul dalam tempoh moratorium itu.
Bank kata, kena bayar tetapi Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru mereka agar tidak mengenakan faedah terkumpul tersebut.
Jika dilaksanakan cadangan Tengku Zafrul itu maka ia akan memberi kesan negatif terhadap keuntungan bank. Ini pelabur tahu lalu mereka ambil tindakan serta-merta menjual saham syarikat kewangan dan perbankan yang mereka pegang.
Boleh dikatakan harga saham semua syarikat kewangan dan perbankan jatuh sebagai reaksi kepada tindakan Menteri Kewangan itu dan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi keseluruhannya.
Daripada kaca mata orang biasa, kenyataan Menteri Kewangan itu bukanlah apa sangat – sekadar mencadangkan kalau boleh bank tidak kutip faedah terkumpul.
Tetapi pelabur tahu jika saranan Menteri Kewangan itu dilaksanakan ia akan menyebabkan pendapatan syarikat perbankan merosot berbilion ringgit dan menjejaskan keuntungan mereka.
Maka mereka jual saham-saham syarikat kewangan dan bank menyebabkan harga masing-masing jatuh. Apabila harga jatuh, pelabur yang terus memegang saham bank berkaitan akan mengalami kerugian dalam bentuk susutan modal pasaran. Kalau mereka jual selepas itu, mereka akan menderita kerugian sebenar.
Ambil contoh Malayan Banking Berhad (Maybank). Apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) umum penangguhan bayaran balik pinjaman pada 1 April, harga sahamnya jatuh daripada RM8.39 (pada 11 Mac) kepada RM7.32 atau RM1.07 sesaham pada hari tersebut.
Kalau pelabur memegang 1,000 unit, kerugian atau susut nilai pelaburan adalah RM1,070.
Kita kena ingat, pemegang saham utama Maybank ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB). Saham Maybank pula merupakan komponen penting dalam portfolio Amanah Saham Bumiputera dan 10 juta bumiputera melabur dalam ASB.
Kesimpulannya, apa juga tindakan ekonomi oleh kerajaan, khususnya yang membabitkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, akan memberi kesan besar kepada rakyat sama ada baik atau buruk. Justeru, eloklah kita mengambil berat dan faham sedikit sebanyak mengenai ekonomi dan kewangan.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!