Doktor baru sembuh Covid-19 dikurung jiran

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI - Seorang doktor wanita yang baru sembuh daripada koronavirus (Covid-19) bukan sahaja diherdik, diugut dan dihina, malah turut dikurung di rumahnya oleh jiran tetangga dalam kejadian di Delhi, India.

Difahamkan, doktor malang tersebut dijangkiti penyakit itu di sebuah hospital kerajaan ketika merawat seorang pesakit Covid-19.

Dia dibenarkan keluar wad pada Rabu lalu dan pulang ke rumahnya di Vasant Kunj bagi menjalani kuarantin, namun kehadirannya tidak disenangi jiran kerana bimbang dijangkiti virus tersebut,

Menurut polis, jiran wanita terbabit yang dikenali sebagai Manish turut bertindak keterlaluan apabila mengurung mangsa sebaik melangkah masuk ke rumah.

Penularan wabak Covid-19 di India menyaksikan petugas perubatan profesional mengalami diskriminasi dan masyarakat seolah-olah takut untuk mendekati serta tidak menghargai usaha mereka dalam membendung penularan penyakit tersebut.

Setakat ini, jumlah kes keseluruhan di India meningkat kepada 86,595 kes dengan 2,760 kematian.

Peningkatan jumlah kes di India begitu ketara walaupun kerajaan mengenakan perintah ‘lockdown’ di seluruh negara bermula 25 Mac untuk mengekang wabak itu.

Antara negeri di India yang paling teruk terjejas adalah Maharashtra dengan 29,100 kes, Tamil Nadu (10,108 kes), Gujarat (9,931 kes) dan New Delhi (8,895 kes).

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri India, Narendra Modi dijangka mengumumkan sama ada perintah ‘lockdown’ yang sepatutnya berakhir esok akan dilanjutkan.

Sehingga esok, perintah itu sudah berkuat kuasa di seluruh India selama 54 hari. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!