Bomba selamat kucing hampir lemas
JOHOR BAHRU - Anggota bomba berjaya menyelamatkan seekor kucing yang hampir lemas selepas terjatuh ke dalam laut di Jalan Sultan Ibrahim berhampiran parkir Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 pagi sebelum 10 anggota bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan kucing itu.
"Sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin turut dihantar ke lokasi tersebut.
"Setibanya di lokasi kita mendapati seekor kucing terjatuh ke dalam laut dari ketinggian kira-kira lima meter," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Nazran berkata, bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan tali dan berjaya menyelamatkan kucing tersebut sebelum operasi ditamatkan jam 11.45 pagi.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan tersebut, Zulbakri Wahid, 29, berkata, dia cuba menyelamatkan kucing terbabit selepas mendengar suara haiwan berkenaan.
"Hampir satu jam cuba menyelamatkan anak kucing berusia tiga bulan yang berpaut pada tiang itu menggunakan baldi namun gagal sebelum membuat keputusan menghubungi bomba," katanya.
Menurutnya, kucing tersebut yang dipanggil Melor bukan peliharanaanya tetapi sering datang ke tempat dia bertugas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!