50 bot nelayan Vietnam diusir dari perairan Terengganu
KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu telah mengusir keluar 50 bot nelayan Vietnam, yang menceroboh perairan Malaysia sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Mac lepas.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, terbaharu bagi tempoh 11 Mei sehingga semalam, sebanyak 10 buah bot telah diusir.
“Sepanjang Operasi Covid-19 Laut ini dengan sokongan komuniti maritim, kira-kira 50 bot nelayan asing Vietnam berjaya diusir keluar dari perairan sempadan negara... ia selaras dengan usaha menyekat penularan wabak berjangkit Covid-19 kepada rakyat di negara ini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Suffi bagaimanapun tidak menafikan terdapat pencerobohan di beberapa lokasi, terutama semasa bot atau kapal penguat kuasa sedang melakukan rondaan di tempat lain dan juga semasa kapal melakukan ulang bekal di pangkalan.
“Pihak Maritim Malaysia bersama agensi-agensi lain sentiasa mencari pendekatan, bagi menangani masalah ini sebaik mungkin. Atas sebab itu, kami berganding bahu dengan agensi-agensi lain dengan melakukan operasi bersepadu dari semasa ke semasa seperti Op Naga, yang masih diteruskan sehingga hari ini.
“Walaupun ketika ini umat Islam sedang berpuasa dan tidak lama lagi akan menyambut Aidilfitri, pihak penguat kuasa akan tetap meningkatkan rondaan, dengan menggerakkan empat kapal dan lima bot bersama kekuatan anggota seramai 100 orang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!