[VIDEO] ‘Wabak Covid-19 selamatkan Anwar’
PADA tanggal 24 Februari lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Malaysia selama 22 bulan tumbang dalam sekelip mata.
Peristiwa kejatuhan kerajaan PH menerusi satu gerakan politik yang digelar ‘Langkah Sheraton’ yang akhirnya membawa kepada penubuhan sebuah kerajaan baharu dipanggil Perikatan Nasional (PN), pastinya memberi tamparan hebat kepada PH sendiri yang baru memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Bagaimanapun, tidak sampai tiga bulan pentadbiran PN, negara sekali lagi berhadapan dengan ketidaktentuan politik apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat yang akan bersidang selama sehari esok.
Ikuti wawancara eksklusif Sinar Ahad bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendengar pandangan beliau berhubung situasi politik semasa dan kerjasama beliau bersama Dr Mahathir untuk mengembalikan semula PH ke puncak kuasa.
Dalam pertemuan yang diadakan di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya, Anwar yang kini Ketua Pembangkang menceritakan bagaimana wabak Covid-19 ‘menyelamatkan’ dirinya daripada satu bebanan yang berat.
Beliau juga menjawab persoalan mengenai isu kontroversi Melayu-Islam semasa pemerintahan PH dengan menegaskan beliau tidak akan meninggalkan DAP.
SINAR AHAD: Apakah perasaan Datuk Seri selepas hampir tiga bulan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa di Putrajaya? Apakah erti keruntuhan kuasa itu kepada perjuangan politik Datuk Seri?
ANWAR: Secara peribadi, dulu pun saya tak ada kuasa, tetapi tentunya ada kesan daripada perubahan yang berlaku. Nak kata tak diduga sama sekali, tidak benar juga.
Ia tidak berlaku sekelip mata. Ada perancangan yang agak lama, pengkhianatan dalaman dan ada dalang yang beri laluan. Kalau tidak, tak semudah itu.
Bagaimanapun, bagi saya orang yang diberi amanah untuk memerintah, walaupun caranya mungkin tidak sesuai ataupun dianggap pintu belakang, jalankan tanggungjawab sebaiknya.
Seharusnya ada pasukan yang bertanggungjawab dalam menghadapi masalah negara, bukan Covid-19 sahaja, tetapi politik dan masalah ekonomi yang getir.
Sebab itu saya adakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberitahu bahawa beliau tidak harus bimbang tentang bantahan pembangkang kerana tanggungjawab kita (pembangkang) adalah untuk memperbetulkan kerajaan.
Nampaknya beliau jalankan amanah dengan baik bersama sebuah pasukan yang lebih berwibawa dan tidak berkecamuk.
Apakah pengajaran terpenting daripada episod hilang kuasa ini Datuk Seri?
Saya ambil sikap lebih terbuka. Kita harus terima apa kekuatannya (kerajaan PH ketika berkuasa)? Kekuatannya ialah ada upaya untuk membetulkan kesilapan-kesilapan dari sudut urus tadbir kerajaan. Ada usaha untuk membetulkan beberapa institusi.
Badan kehakiman, contohnya, yang dianggap terlalu memihak kepada kerajaan sebelum itu. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang (sebelum ini) dianggap tidak cukup berkesan. Kita juga membebaskan media.
Tetapi dari segi pelaksanaan, memang ada kelemahan. Umpamanya dalam soal SPRM, saya berulang kali menyuarakan kita jangan menjadikan perubahan SPRM ini hanya untuk menekan pemimpin-pemimpin lama.
Kalau betul salah, saya tidak halang. Tetapi harus juga memberi satu mesej yang jelas kepada pemimpin-pemimpin PH yang ada supaya mereka jangan ada sedikit pun kecenderungan untuk salah guna kuasa demi mengumpul kekayaan.
Tetapi apabila ada orang yang menonjolkan kekayaan berlebihan dan berbelanja yang tidak sepatutnya itu dilepaskan begitu saja (oleh SPRM), ini memberikan satu gambaran yang salah kepada rakyat.
Kemudian, disebabkan ini kali pertama ada perubahan kerajaan yang mendadak dan penyertaan anggota Kabinet bukan Melayu juga ramai (dalam kerajaan PH), maka tentunya ada keresahan dalam kalangan orang Melayu.
Ditambah pula dengan ucapan-ucapan kontroversi dan keterlaluan sebelum itu seperti (bekas Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy). Ini memberi kesan tertentu akibat kenyataan-kenyataan mereka yang kurang sensitif terhadap perasaan masyarakat Melayu. Ini satu pengalaman kita.
Tohmahan yang menggambarkan seolah-olah dasar PH mengkhianati orang Melayu, Melayu miskin disebabkan PH, itu saya rasa keterlaluan. Orang Melayu hilang tanah rizab, itu 10 tahun sebelumnya.
Orang Melayu hilang dana dan saham bumiputera berpuluh bilion, itu pentadbiran sebelumnya. Tetapi sentimen kaum itu sebenarnya cepat menikam dan kadang-kadang memberikan kesan.
Apakah yang tidak kena dengan PKR, hingga berlaku perpecahan dalam parti yang turut menyumbang kepada kejatuhan PH?
PH tumbang kerana ada dalang di sebaliknya. Mereka mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Dalangnya diketahui umum. Orang Bersatu yang bincang dengan ahli-ahli Parlimen untuk melompat parti.
Begitu juga peranan kelompok kecil dalam PKR kerana kedudukan mereka. Kuasa dan pengaruh mereka tentunya dipelihara, kalau tidak, tidak mungkin buat begitu.
Tetapi mungkin juga ada laluan, ada ruang (yang sengaja) diberikan. Itu kebijaksanaan saudaralah (media) untuk menentukan siapa yang memberi ruang.
Kalau tidak, tidak mungkin begitu. Yang (terlibat dalam) Langkah Sheraton itu bukan dalang. Mereka memang pemainnya. Dalangnya ada di atas.
Sejauh manakah usaha pembersihan dalam PKR dapat mengembalikan kekuatan parti Datuk Seri?
Kalau yang jelas mereka khianat, saya tiada masalah. Tetapi apa sahaja tindakan lembaga disiplin atau kepimpinan PKR, saya tidak mahu kita salah langkah.
Jangan korbankan yang tidak bersalah. Saya tidak nafikan keperluan kita untuk teliti semula seandainya ada yang menganggap lembaga disiplin atau kepimpinan terlanjur dalam mengambil tindakan.
Soal mereka tidak sokong kepimpinan negeri ataupun kritik saya, itu bukan menjadi masalah. Mereka ada hak mengkritik saya. Tetapi mana ada parti politik apabila nyata berlaku pengkhianatan, parti tak ambil tindakan?
Apakah yang Datuk Seri jangkakan berhubung usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini?
Usul itu dikemukakan terutama apabila kita tahu wujud keadaan yang agak tidak stabil dalam Perikatan Nasional. Bukan saja hubungan sesama parti agak rapuh, hubungan kelompok juga rapuh kerana tidak ada struktur yang mantap, tiada manifesto dan tiada dasar.
Cuma pertimbangannya ialah hal kuasa. Tapi apa dasar-dasarnya? Apa dasar ekonominya? Apa reformasi yang harus dibuat terhadap institusi pemerintahan?
Tetapi dari segi pelaksanaan, saya akui ada yang positif, umpamanya dalam menangani Covid-19. Saya tidak nafikan beberapa langkah yang menunjukkan kepedulian kerajaan tentang masalah rakyat.Tetapi apabila kita teliti, pada masa yang sama mereka juga sibuk mengagihkan habuan. Saya tahu dalam politik kadang-kadang kita perlu jaga hubungan dengan penyokong-penyokong.
Namun, ketika bilangan orang yang hilang pekerjaan mencecah ratusan ribu, kita pula sibuk agih jawatan-jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), itu tentu akan jadi masalah yang besar.
Jadi apabila Tun Mahathir kemukakan usul undi tidak percaya, tentunya kita dalam PH tak ada halangan kerana itu hanya satu cubaan untuk menguji kekuatan kerajaan yang ada.
Kalau usul itu dibahas dan diundi tentulah ada kesannya. Tapi sekarang undi tidak percaya itu tidak akan dibahaskan dan pada peringkat ini, Muhyiddin akan terus menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.
Bagaimana Datuk Seri lihat hubungan terbaharu Datuk Seri dengan Dr Mahathir selepas kembali menjalinkan kesepakatan baru-baru ini? Apakah perancangan politik yang hendak dibawa oleh Dr Mahathir?
Kalau hendak tahu pasal perancangan politik Dr Mahathir, kena tanya dialah. Kalau tanya saya, pendirian saya dalam politik ini adalah hal-hal yang disepakati. Tetapi pengalaman mengajar kita.
Pertama, kita mesti pegang kepada janji. Kedua, agenda reformasi. Kita tidak boleh tolak ansur dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, kebebasan media, kebebasan badan kehakiman dan ekonomi tidak boleh dibolot oleh beberapa kerat keluarga dan kroni.
Saya tahu kadang-kadang dalam kenyataan saya ini orang anggap terlalu keras. Saya tidak keras tetapi saya berpegang kepada prinsip.
Berdasarkan surat kenyataan bersama yang dikeluarkan baru-baru ini, Datuk Seri dan Dr Mahathir ada menyatakan tiada keinginan untuk merebut kuasa. Apakah maknanya?
Saya sudah 73 tahun, Mahathir pula berusia 95 tahun. Pada usia begini, bukan soal harta atau bergelut merebut kuasa yang dipentingkan sehingga meninggalkan segala prinsip.
Sampai sekarang masih ada orang yang bertanya, ‘Anwar, kalau mahu menyertai (Perikatan Nasional), laluan sangat baik’. Tetapi saya kata, tidak. Saya berpegang pada prinsip. Terasnya mesti Melayu dan Islam tetapi Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang boleh merangkul semua kaum.
Mungkinkah Covid-19 menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional?
Ada seorang syeikh besar mengatakan kepada saya: ‘Anwar, anta (kamu) harus bersyukur Covid-19 menyelamatkan anta’. Saya tanya mengapa? Beliau menjawab, ‘sebab anta akan mewarisi satu sistem politik yang gawat, ekonomi yang susah, ratusan ribu akan dibuang kerja, makan minum yang susah’.
Belum pernah berlaku sebegini, mungkin pada zaman penjajahan Jepun sahaja (ia terjadi), rakyat terpaksa dibantu sebegini rupa untuk mendapatkan makanan cukup.
Di pihak kerajaan, mereka kata jangan berpolitik (ketika wabak Covid-19). (Realitinya) pemimpin kerajaan Perikatan Nasional berebut jawatan politik hari-hari, asyik rebut kerajaan negeri hari -hari.
Tetapi beri nasihat kepada kita, jangan bercakap politik. Yang berebut di Melaka, Perak dan Kedah sekarang ini apa? Kalau politik, tiada masalah. Yang tidak dikehendaki adalah politik yang merosakkan, politik pengkhianatan, politik rasuah dan rendah akal budi.
Bagi saya, benar juga untuk menganggap kerajaan PN dapat ruang bernafas kerana Covid-19. Semuanya beku, kempen tidak ada, Parlimen pun dibeku.
Pada saat rakyat dilanda kesusahan dan kepayahan akibat Covid-19, bagaimana Datuk Seri melihat aspek pengurusan kerajaan bagi membantu kebajikan rakyat?
Saya akui ada beberapa langkah yang baik dilakukan bagi menyalurkan bantuan dan memberi kelonggaran kepada rakyat di bawah.
Tetapi saya mahu beri peringatan supaya tumpuan kita mesti di situ (rakyat) dan jangan lakukan kesilapan dengan menjaga kepentingan bank sebagaimana kontroversi berlaku baru-baru ini.
Kalau tanya saya, pertamanya pakej rangsangan itu harus lebih berkesan dengan nilai lebih besar. Tetapi jumlah pakej (rangsangan itu sendiri) juga sudah jadi mainan politik, RM250 bilion. Saya sudah perincikan, hanya RM25 bilion.
Menteri Kewangan sendiri sebut RM3 bilion daripada nilai itu merupakan pemindahan peruntukan. Jadi tinggal RM22 bilion. Tidak boleh sebutkah nilai itu?
Untuk rakyat RM22 bilion. Yang lain guna wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Saya cukup runsing bila wang Perkeso dan wang KWSP digunakan kerana umumnya orang kategori miskin ini, simpanan wang mereka sangat sedikit selepas bersara pun. Kalau kita ambil yang itu, kita hanya menangguhkan sengsaranya kemudian.
Apakah pandangan Datuk Seri terhadap trend pelantikan ahli Parlimen dan pemimpin utama PN ke jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh kerajaan Tan Sri Muhyiddin?
Ini bukti Melayu ke mana, Islam ke mana. Kalau betul cakap soal Melayu, kita ambil Melayu yang berwibawa, cekap dan boleh menyelamatkan institusi Melayu itu. Tetapi tidak, kita beri habuan supaya dapat jaminan sokongan terhadap kita.
Orang tanya apakah salah kalau ahli Parlimen jadi pengerusi GLC? Saya kata tidak salah. Kalau betul dia orang yang layak, ada kewibawaan, silakan. Tetapi takkan setiap ahli Parlimen ada kelayakan untuk memegang semua jawatan ini (GLC)? Tidak.
Inilah masalah kita. Meletakkan orang yang tidak berkelayakan menggalas tanggungjawab diamanahkan kerana politik adalah satu jenayah. Kita sudah tengok Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Haji, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Kalau tidak diurus dengan baik, institusi bumiputera yang sangat penting ini akan habis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!