Sejarah 20 tahun Putin
PERSPEKTIF
TARIKH 7 Mei 2020 menandakan 20 tahun pemerintahan Vladimir Putin sebagai Presiden Rusia. Semasa pemerintahan Kesatuan Soviet (USSR), Putin pernah berkidmat sebagai Leftenan Kolonel dalam pasukan perisikan Komitet Gosudarstvennoy Bezopasnosti (KGB).
Pada Ogos 1991, Putin meletak jawatan dalam KGB dan menyertai politik. Tidak lama kemudian USSR dibubarkan penghujung Disember 1991. Putin mula berkecimpung dalam politik dan pentadbiran bandar raya St. Petersburg dan kemudian Moscow pada awal 1990-an.
Pada tahun 1998, Presiden Boris Yeltsin telah melantik Putin sebagai pengarah Federal Security Service (FSB) iaitu pasukan perisikan Rusia yang menggantikan KGB.
Kepimpinan Putin telah mendapat perhatian Presiden Yeltsin. Justeru, pada Ogos 1999 Presiden Yeltsin melantik Putin sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Latar belakang Putin sebagai seorang bekas tentera serta pengarah pasukan perisikan menjadikan beliau popular terutama Rusia pada masa itu sedang berhadapan dengan Perang Chechnya.
Pada Disember 1999 Putin dilantik sebagai Pemangku Presiden Rusia apabila Presiden Yeltsin meletak jawatan. Pilihan raya diadakan pada Mac 2000 dan Putin telah menang dengan 53 peratus undi. Seterusnya beliau dilantik menjadi Presiden Rusia pada Mei 2000.
Agenda utama Putin apabila menjadi Presiden Rusia adalah memperkukuhkan imej Rusia dalam politik dalaman serta di peringkat antarabangsa. Ini amat penting kerana pada 1990-an di peringkat domestik, Rusia mengalami transisi daripada sistem komunisme yang diamal semasa era USSR berubah menjadi pasaran terbuka.
Dari segi keselamatan nasional Rusia perlu menghadapi konflik Chechnya, jenayah transnasional manakala di peringkat antarabangsa dan perimbangan kuasa Rusia juga terpaksa berhadapan cabaran daripada Barat khasnya pakatan ketenteraan NATO yang sedang berkembang ke Eropah Timur.
Justeru, Putin berusaha untuk menstabilkan keadaan di Chechnya dengan meningkatkan operasi ketenteraan serta memberi autonomi terhad kepada penduduk Chechnya.
Selain itu, Putin berjaya memulihkan ekonomi Rusia sehingga negara itu menjadi ekonomi yang ketujuh terbesar di dunia. Di peringkat antarabangsa, Rusia di bawah Putin telah kembali menjadi sebuah negara yang aktif dan disegani.
Rusia membantah pendudukan Amerika Syarikat (AS) di Iraq dan pada 2007 Putin dengan lantang mengkritik dasar luar AS sebagai ‘penguasaan monopoli dalam hubungan global’ ketika berucap di Munich, Jerman. Selain itu, Rusia meningkatkan kerjasama dengan negara-negara Islam khasnya di rantau Asia Barat.
Kelemahan
Dalam tempoh dua dekad Putin berjaya mengembalikan Rusia sebagai sebuah kuasa yang dihormati. Kepimpinannya tidak terlepas daripada kelemahan tertentu seperti penguasaan kumpulan oligarki terhadap politik dan ekonomi Rusia.
Selain itu, tiada ketulusan dalam pemerintahannya serta pelanggaran hak asasi manusia, misalnya yang telah berlaku terhadap penduduk Chechnya ketika Perang Chechnya pada 2004.
Media Barat sering kali mengkritik Putin sebagai seorang diktakor. Bagaimanapun, Putin masih mampu mengatasi pelbagai kritikan dan berhasrat untuk terus berkuasa.
Akan tetapi cabaran yang paling sukar bagi Putin bukannya dari AS tetapi wabak Covid-19. Sehingga semalam, jumlah pesakit Covid-19 di Rusia adalah seramai 272,043 orang dan yang telah meninggal dunia adalah 2,537 orang.
Penularan Covid-19 di Rusia menjadi semakin cemas sehingga beberapa pegawai kanan Putin telah menghidap Covid-19.
Kini kesihatan Putin sendiri menjadi kebimbangan. Putin sememangnya seorang pemimpin yang berwibawa serta ahli politik licik yang mampu menumbangkan musuh politiknya dan bertahan selama 20 tahun, namun mampukah beliau menewaskan virus Covid-19?
*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!