Demokrasi Parlimen tanpa perbahasan

Chandra Muzaffar
Chandra Muzaffar
A
A
A

KEDUDUKAN kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya diuji menerusi usul tidak percaya pada persidangan sehari Dewan Rakyat esok.

Bagaimanapun, sidang pertama Dewan Rakyat selepas Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada Mac lalu sekadar memberi laluan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas alasan negara masih diancam wabak Covid-19.

Bagi cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar, titah diraja tersebut penting kerana ia menggambarkan dasar-dasar kerajaan ketika ini, namun ia tidak menepati ciri-ciri demokrasi yang diamalkan selama ini kerana pentadbiran Parlimen menutup peluang 222 ahli Dewan Rakyat berbahas isu-isu penting yang sedang dihadapi negara.

Dalam wawancara bersama Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Zuki Pileh dan wartawan Mohd Hafiz Ismail, Dr Chandra yang pernah menjadi sahabat baik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengulas tentang cita-cita Anwar yang tidak pernah padam untuk menjadi Perdana Menteri selain kerjasama terkini politik beliau bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

SINAR AHAD: Apakah keistimewaan sidang Dewan Rakyat kali ini dan ertinya kepada demokrasi di Malaysia?

DR CHANDRA: Kita dimaklumkan bahawa tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat kali adalah mengenai titah diraja dan selepas itu, Dewan akan bersurai. Bermakna tidak ada perbahasan kerana kebiasaannya titah diraja itu disusuli dengan perbahasan. Titah diraja itu penting kerana negara perlukan satu garis panduan dan bagaimana menghadapi cabaran-cabaran semasa.

Biasanya dalam sistem demokrasi di Malaysia, perkara itu disampaikan melalui titah diraja. Hakikatnya titah itu juga adalah dasar pemerintah. Ini bermakna melalui titah diraja, kita dapat tahu bahawa inilah cabaran negara dan rakyat pada hari ini. Pada masa ini, kita berdepan dengan tiga krisis iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan politik.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah dan dasar pemerintah. Akan tetapi demokrasi kita lebih selesa sekiranya ada perbahasan kerana itulah sifat demokrasi. Saya berpendapat kita harus lanjutkan sehari atau dua hari lagi untuk ahli Parlimen membahaskan titah diraja.

Perbahasan itu membolehkan kita menilai dasar pemerintah. Itu yang dimaksudkan dengan perbahasan. Ia bukan membahaskan titah diraja semata-mata tetapi dasar-dasar kerajaan sekarang.

Apabila Dr Mahathir membawa usul tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin di Dewan Rakyat, apakah beliau benar-benar mahu menjatuhkan Perdana Menteri atau tersirat agenda lain?Pada prinsipnya saya tidak bersetuju dengan usul tidak percaya Tun Mahathir ini. Saya tak setuju atas dua sebab. Pertama, kerana kita sedang berdepan dengan krisis besar atau luar biasa besar melibatkan tiga aspek ini iaitu kesihatan, ekonomi dan politik.

Artikel Berkaitan:

Kalau kita tengok di tempat-tempat lain yang menjalankan pilihan raya (ketika krisis sekarang), pada keseluruhan mereka cuba mengurangkan politiking kerana mahu menumpukan kepada cabaran besar ini. Cabaran ini mungkin menentukan masa depan negara dan masa depan 32 juta penduduk Malaysia. Sekiranya kita tidak berhati-hati atau berwaspada dan memastikan dapat mengatasinya, ia bukan sesuatu yang mudah buat negara.

Krisis kesihatan ini merupakan masalah besar kerana ada yang meninggal dunia dan ramai yang sakit. Setakat ini, belum ditemui vaksin atau penawarnya. Jangkitan Covid-19 terus merebak. Oleh sebab negara kita bukan terpencil daripada dunia luar, jadi apa yang berlaku di tempat lain akan memberi kesan langsung kepada Malaysia dari segi pelaburan, perdagangan, teknologi dan sebagainya. Ini bermakna kita harus mengambil kira perkembangan di tempat-tempat lain juga.

Jadi berdasarkan perkembangan semasa dunia, ini bukan masanya untuk mengusulkan undi tidak percaya.

Kedua, kedudukan Muhyiddin dalam kerajaan yang memerintah sekarang dari segi undang-undang tidak salah. Ini merupakan kerajaan yang sah dari segi Perlembagaan Persekutuan serta telah mengikut segala proses dan protokol yang dianuti oleh kerajaan selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Jadi usul itu boleh dikatakan satu cubaan untuk meruntuhkan sebuah kerajaan yang sah?Proses pembentukan kerajaan itu ditetapkan oleh perlembagaan kita di mana Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan pandangan daripada setiap ahli Parlimen. Ia memang dibenarkan. Selepas Seri Paduka puas hati bahawa seseorang itu mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen, ia merupakan hak Yang di-Pertuan Agong (untuk melantik Perdana Menteri).

Soal tentang kerajaan dan Kabinet Muhyiddin itu sah atau tidak sebenarnya tidak timbul. Apa yang kita kurang senang atau saya sendiri kurang senang adalah cara kerajaan baharu ini mengambil alih kuasa. Tidak dapat kita nafikan bahawa yang dipilih pada tanggal 9 Mei 2018 (PRU-14) adalah gabungan yang diberi nama Pakatan Harapan (PH).

PH ini disingkirkan melalui politik dan digantikan oleh pihak lain. Walaupun ini sesuatu yang tidak bertentangan dengan undang-undang tetapi bercanggah dengan moral dan etika.

Namun, kita harus memahami bahawa peristiwa beberapa individu yang dipilih melalui platform tertentu (pilihan raya) melompat masuk ke pihak lain telah berlaku sejak awal merdeka lagi. Ini merupakan sejarah politik kita.

Jangan kita lupa kejadian pada tahun 1961 di mana kerajaan Pas di peringkat negeri digulingkan selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka menyertai UMNO.

Begitu juga dengan apa yang berlaku pada awal 1970-an di mana Perikatan memenangi pilihan raya tetapi kedudukannya tidak begitu kukuh. Akhirnya, empat parti pembangkang bermula dengan SUPP, selepas itu PBB, Gerakan dan Pas menyertai Perikatan sehingga lahirlah Barisan Nasional akibat daripada proses tersebut.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Ini juga berlaku di Sabah pada tahun 1994 apabila kerajaan yang dipilih oleh rakyat iaitu parti PBS yang dipimpin oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan digulingkan kerana ada wakil rakyat yang menyertai parti lain. Akhirnya kerajaan Pairin jatuh.

Pada ketika itu, Perdana Menterinya ialah Dr Mahathir dan yang terlibat dalam usaha ini ialah Anwar Ibrahim. Kita tahu pada masa itu Anwar ialah orang kedua kepada Mahathir.

Dan jangan lupa pada tahun 2008 selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Anwar sendiri terlibat dengan ‘Langkah 16 September’ di mana dia mahu menjemput beberapa individu daripada BN menyertai gabungannya, Pakatan Rakyat dan berhasrat menubuhkan kerajaan baharu tetapi gagal. Ini juga pernah berlaku pada 2009 di Perak apabila kerajaan negeri jatuh.

Apa yang saya mahu tegaskan di sini ialah apa yang berlaku ini sebenarnya sebahagian daripada amalan politik negara kita. Apa yang berlaku beberapa bulan lepas adalah antara amalan politik di Malaysia. Dari segi undang-undang, tidak ada peruntukan melarang melompat parti tetapi dari segi etika tidak betul.

Jika kita lihat kepada Perikatan Nasional (PN), ia mula digembar-gemburkan tentang keretakan ekoran agihan kerusi dan jawatan yang dikatakan tidak adil. Adakah Dr Chandra melihat ini bibit-bibit yang memendekkan hayat gabungan itu?

Ia bergantung kepada tiga perkara mengenai masa depan PN ini. Pertama, cara mereka menangani hubungan dalam kalangan mereka seperti soal kuasa, kerusi dan cara pembahagian itu soal penting.

Kini isunya sama ada mereka dapat mencapai muafakat dalam suara-suara ini. Ini mungkin lebih ketara ketika pilihan raya tetapi soal ini perlu ditangani dari sekarang.

Kedua, cara kerajaan PN mengatasi cabaran krisis kesihatan dan ekonomi. Rakyat akan menilai mereka berdasarkan kepada prestasi PN dalam soal ini. Bagi dua perkara ini, impak kepada rakyat dirasai secara langsung oleh rakyat.

Kita perlu sedar peratusan pengangguran di negara ini semakin meningkat dan ekonomi setakat ini belum menjana satu senario yang boleh meyakinkan bahawa kita boleh pulihkannya.

Walaupun ada usaha untuk mengatasinya dengan pelbagai rancangan dengan beberapa individu yang berkebolehan dalam PN tetapi ini suatu yang besar di mana mereka perlu hadapi.

Ketiga, oleh kerana pihak yang menentang PN itu mempunyai kekuatan di Parlimen dari segi politik, sudah tentu mereka akan membangkitkan isu-isu tentang integriti, rasuah dan sebagainya.

Dalam politik di mana sekali pun kalau kita dapat menunjukkan bahawa parti atau pemimpin tertentu yang memimpin sesebuah masyarakat terpalit dengan rasuah atau melakukan perkara bertentangan dengan prinsip moral, ini akan membawa implikasi yang serius kepada pihak yang memerintah. Ini akan mencemarkan kedudukan mereka.

Bagaimana dengan peluang dan cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri?

Anwar tidak akan menganggap dirinya sebagai kalah dalam percaturan politik ini. Beliau akan terus berusaha untuk menjadi Perdana Menteri. Itulah cita-cita beliau sejak dahulu lagi.

Ya, walaupun pada usia 73 tahun sekarang, beliau akan berusaha untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau memang ada ciri-ciri tertentu yang pada pandangan saya memanfaatkan masyarakat.

Itu tidak dapat kita nafikan. Akan tetapi ada ciri-ciri yang boleh dipersoalkan dari segi kepimpinan di mana ada yang bermanfaat dan ada yang mungkin merugikan masyarakat sekiranya kita mahu menilai beliau secara adil.

Malangnya, penilaian secara adil ke atas beliau sebagai pemimpin tidak berlaku di negara kita. Mereka yang menyokong sebenarnya menyokong membuta tuli dan mereka yang menentang, menentang berdasarkan personaliti dan ideologi.

Ini bermakna, belum ada usaha menilai secara adil dan kita boleh katakan ini adalah budaya di negara kita sejak dahulu. Inilah kelemahan sistem politik kita.

Perkembangan mutakhir kejatuhan kerajaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, adakah ia merupakan satu kebetulan atau percaturan politik antara Anwar, Dr Mahathir dan Muhyiddin?

Saya menganggap ia sebagai satu peristiwa yang mencerminkan kenyataan politik di Kedah dan mungkin berhubung kait dengan perkembangan semasa di Semenanjung.

Isu utama kita semua tahu berpunca daripada masalah dalam kalangan kepimpinan PKR. Dua ADUN yang melompat menyertai pembangkang di Kedah ini ialah penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini bermakna ini merupakan isu PKR yang mengakibatkan masalah ini dan akhirnya menyebabkan kerajaan Kedah di bawah pentadbiran Mukhriz jatuh.

Kalau boleh mereka mahu mengekalkan kuasa mereka tetapi kalau kita lihat Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul cuba bertindak ke atas dua ADUN ini tetapi gagal kerana mereka sudah menyertai pihak lain.

Dalam konteks Kedah, kita tidak hairan bahawa perkara ini berlaku dalam konteks negeri. Ini kerana kita tahu dahulu dalam krisis Mukhriz sebelum ini, beliau terpaksa melepaskan jawatan kerana Najib. Kali ini juga Mukhriz menjadi sasaran oleh tindakan beberapa individu terlibat dan dia terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar sekali lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!