Sidang Parlimen sehari cetus kontroversi
SELEPAS lebih dua bulan tsunami politik negara bungkam seketika kerana pandemik Covid-19, sejak seminggu dua lalu perbincangan mengenai percaturan baharu kuasa dan pengaruh politik di Malaysia kembali panas.
Walaupun ada sebahagian pemerhati politik dan rakyat berpendapat sekarang ini bukanlah masa paling sesuai untuk pemimpin negara baik di blok kerajaan atau pembangkang untuk bertegang urat, sementelah masa dan tenaga lebih wajar difokus untuk melawan Covid-19, namun persidangan Dewan Rakyat esok tidak boleh dielakkan untuk melengkapkan syarat demokrasi negara.
Dengan transisi kuasa Putrajaya berlaku penuh dramatik pada hujung Februari lalu, maka tidak syak lagi sidang Dewan Rakyat esok merupakan detik yang paling ditunggu-tunggu terutamanya di blok Pakatan Harapan untuk ‘membalas dendam’.
Ia mungkin akan menjadi sidang Dewan Rakyat paling panas melibatkan 222 ahli Parlimen yang perlu ditangani Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof. Atau ia tidak mustahil berlangsung ‘damai’ selepas kerajaan yang sudah menghidu percaturan pembangkang lantas menetapkan sidang Parlimen kali ini bukan sahaja berlangsung sehari bahkan tanpa perbahasan.
Namun yang pasti, sidang Dewan Rakyat kali ini sangat ‘istimewa’ atas banyak sebab. Ia merupakan sidang dewan rakyat pertama pada musim pandemik Covid-19 yang menjadi alasan ‘kukuh’ pemerintah untuk melaksanakan beberapa aturan normal baharu Parlimen.
Selain itu, ia juga sidang dewan pertama Muhyiddin, yang selepas 48 tahun terlibat dalam jatuh bangun karier politik, kini akhirnya beliau bergelar Perdana Menteri dan akan duduk di kerusi paling kanan blok kerajaan.
Cukup syarat
Tidak terkecuali, esok juga buat pertama kalinya rakyat bakal mengetahui wajah dan jumlah sebenar pemimpin yang bergelar kerajaan dan pembangkang terutamanya melibatkan pemimpin atas pagar sebelum ini.
Dan ironinya, ini juga mungkin pertama kali dalam sejarah bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akan berada di kerusi pembangkang.
Berkongsi pandangan mengenai sidang Dewan Rakyat esok, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, beliau melihat sidang Dewan Rakyat kali ini adalah bagi mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan tempoh enam bulan selepas sidang terakhir diadakan.
“Persidangan kali ini adalah sidang cukup syarat demokrasi dalam keadaan negara dan dunia sedang bergelut dengan krisis Covid-19.
“Dengan sidang terakhir Dewan pada Disember lalu, maka sidang dewan sehari ini perlu diadakan sebelum 5 Jun. Namun, kita perlu faham yang menentukan sehari, seminggu atau sebulan persidangan adalah hak pemerintah walaupun banyak pihak cuba mempertikaikannya.
“Dengan agenda persidangan hanya titah Agong, mungkin suasana persidangan nanti tidaklah terlalu panas,” kata Shamsul Amri kepada Sinar Harian semalam.
Melihat krisis Covid-19 sebagai peluang politik yang tidak diduga untuk Kabinet Muhyiddin, ujar Shamsul Amri, untuk setakat 79 hari menjadi Perdana Menteri, Muhyidddin menonjolkan watak dan karakter dirinya.
“Strategi kepimpinan Muhyiddin sama macam karakter beliau iaitu kurang bercakap banyak buat kerja.
“Lihat sahaja bagaimana dalam krisis Covid-19, beliau tidak mahu ramai orang bercakap. Hanya dua orang pemimpin boleh buat sidang media, itu strategi baik untuk tenangkan rakyat dalam menghadam info-info Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, bagi salah seorang pemimpin paling lantang sewaktu berada di barisan pembangkang, Tan Sri Noh Omar daripada UMNO dan Barisan Nasional, sidang dewan rakyat kali ini diakui lebih mencabar berbanding sidang-sidang sebelumnya.
“Kalau tengok dalam Perikatan Nasional (PN) sekarang, semua ahli Parlimen pernah berasa jadi pembangkang. Begitu juga dalam Pakatan Harapan (PH), semuanya pernah jadi kerajaan. Maknanya baik PN atau PH, masing-masing sudah tahu selok-belok dan pengalaman jadi kerajaan dan pembangkang.
“Tapi saya rasa tak mustahil Parlimen esok akan kecoh sebab PH ini kalau tengok macam orang yang sedang meroyan. Orang meroyan ini dia boleh buat macam-macam,” kata Noh kepada Sinar Harian mengenai jangkaannya.
Bagaimanapun, Pengerusi UMNO Selangor itu berpendapat dalam musim wabak Covid-19, sekarang bukanlah masa terbaik untuk bermain politik apatah lagi, katanya, politik negara sudah terlalu lama larut dalam kekecohan rebut kuasa antara dua pemimpin veteran Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam tempoh 20 tahun ini kalau kita tengok, segala kecoh-kecoh politik, perpecahan parti, orang Melayu semuanya sebab Dr Mahathir dan Anwar. Akhirnya, baru-baru ini mereka berebut lagi, alih-alih ditakdirkan Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri dan setakat ini Muhyiddin memikul tugasnya dengan baik dalam krisis Covid-19,” ulas Noh mengenai prestasi Muhyiddin.
Rejim autoritarian
Namun, bagi sesetengah penganalisis politik sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sehari apatah lagi tanpa sebarang perbahasan adalah satu kepelikan yang telah menyongsang demokrasi. Lebih merisaukan dengan meletakkan alasan Covid-19 sebagai penghalang kepada perjalanan demokrasi, ia mendedahkan negara kepada satu rejim autoritarian.
Bagi peguam terkenal, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, bahaya manapun Covid-19, ia tidak boleh mengatasi keperluan kerajaan untuk mematuhi keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Tidak dinafikan gejala Covid-19 yang menghantui kesejahteraan, kesihatan dan ekonomi rakyat Malaysia, wajib diperangi tanpa berbelah bahagi, namun ini tidak bermakna bahawa seruan pihak tertentu agar kerajaan mematuhi keluhuran perlembagaan bermaksud golongan ini hendak bermain politik,” katanya.
Tambah Haniff, adalah penting untuk semua hal ehwal tadbir urus negara, walaupun berhadapan dengan apa jua musibah, masih wajib dilaksanakan dalam pematuhan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, sekiranya tidak, ia boleh menjadi tidak sah, tercabar serta wajib diperbetulkan.
“Persidangan Dewan Rakyat yang dimaksudkan dalam Perlembagaan Persekutuan semestinyalah satu persidangan sebenar melibatkan perbahasan dan persoalan serta jawapan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
“Maka, dengan cuma adanya pembentangan ‘Titah Diraja’ oleh Yang di-Pertuan Agong, tanpa ia dibahaskan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat langsung, boleh membawa maksud, sekiranya dicabar di mahkamah, bahawa tiada mana-mana persidangan Dewan Rakyat yang sebenar telah berlaku pada 18 Mei itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!