PDRM permudah SOP tuntut elaun khas
KUALA SELANGOR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempermudah prosedur operasi standard (SOP) berhubung tuntutan bayaran elaun khas RM200 kepada anggota dan pegawai yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Bahagian Logistik pada 12 Mei lalu.
Menurutnya, petugas terbabit hanya perlu mengemukakan tiga dokumen berbanding 30 hingga 40 dokumen sebelum ini.
"Perkara ini dibangkitkan media yang melaporkan berlakunya situasi anggota susah untuk membuat tuntutan elaun disebabkan prosesnya yang agak rumit.
"Kita ambil iktibar dari perkara itu dan memutuskan mereka (anggota) perlu kemukakan tiga dokumen sahaja dan berharap perkara ini tidak menjadi masalah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PDRM kaji SOP tuntutan elaun khas
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pangkalan Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Tesco Kuala Selangor di sini semalam.
Abd Rahim berkata, pihaknya telah mula membuat pembayaran untuk tuntutan pada bulan April.
"Kita telah buat bayaran pada Mei ini dan ramai telah menikmati elaun seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh PKP melahirkan rasa kecewa terhadap kesukaran untuk membuat tuntutan elaun penugasan koronavirus (Covid-19) yang berjumlah RM200 sebulan.
Mereka menyifatkan kerajaan seperti tidak ikhlas dalam pemberian elaun penugasan itu apabila anggota dan pegawai polis terlibat perlu mengisi tiga salinan set borang sebelum menuntut elaun tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Macam tak ikhlas nak bagi elaun!
'Kami bukan tidak bersyukur...'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!