50 bot nelayan asing diusir sepanjang tempoh PKP
Antara nelayan asing yang ditahan selepas dikesan menceroboh perairan negara sepanjang tempoh PKP (foto: ihsan APMM Terengganu)
Antara kapal nelayan asing Vietnam yang diusir dalam tempoh PKP (foto: ihsan APMM Terengganu)
A
A
A
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bagi tempoh 11 Mei sehingga semalam pula, sebanyak 10 bot nelayan Vietnam sudah diusir hasil aduan daripada komuniti nelayan kepada Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Terengganu.
"Sepanjang operasi koronovirus (Covid-19) di laut dengan sokongan komuniti Maritim kepada PUSOP, kami berjaya menghalau keluar 50 bot nelayan Vietnam dari perairan sempadan Malaysia. Langkah ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menyekat penularan wabak berjangkit Covid-19 kepada rakyat di negara ini.
"Tindakan komuniti Maritim khasnya nelayan yang menjadi 'mata dan telinga' kepada kami dengan menyalurkan maklumat segera berkait pencerobohan bot nelayan asing menerusi talian PUSOP yang beroperasi 24 jam mempercepatkan tindakan segera dapat dilakukan. Dengan maklumat penting yang dihantar terus ke PUSOP membolehkan pergerakan bot dan kapal APMM untuk ke lokasi pencerobohan bot nelayan asing," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Muhammad Suffi berkata, kebiasaannya, sejurus menerima aduan segera nelayan, PUSOP akan mengarahkan bot atau kapal APMM yang sedang melakukan rondaan di sektor yang dirancang ke lokasi aduan dengan segera terutama yang berada berhampiran lokasi dimaksudkan.
"Saya berharap kerjasama sebegini akan berterusan kerana ia akan memberi kesan yang amat baik kepada pengawalan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan Terengganu yang luas berbanding jumlah aset yang ada pada masa ini," katanya.
Beliau juga tidak menafikan terdapat pencerobohan di beberapa lokasi khasnya semasa bot atau kapal penguat kuasa sedang melakukan rondaan di tempat lain dan juga semasa kapal melakukan ulang bekal di pangkalan.
"Ini adalah kerana saiz perairan yang luas berbanding jumlah aset yang ada menyukarkan pihak kami untuk mencapai tahap sifar pencerobohan bagi semua tempat.
"Disebabkan itu, kami berganding bahu dengan agensi-agensi lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan melakukan operasi bersepadu dari masa ke masa seperti Op Naga yang masih diteruskan sehingga hari ini selain daripada Op Covid-19," katanya.
Muhammad Suffi juga menjelaskan bagi memastikan bot-bot nelayan asing yang diusir itu tidak kembali semula memasuki perairan Terengganu, pihaknya mengambil beberapa tindakan tegas seperti merampas semua peralatan menangkap ikan, membuang bekalan ais dan bekalan air tawar ke laut supaya mereka tidak berupaya lagi melakukan aktiviti penangkapan ikan.
"Selain itu, Kapal APMM juga akan menghimpit dan mengiringi bot-bot mereka sehingga keluar daripada sempadan perairan Malaysia.
"Didapati tindakan ini menunjukkan keberkesanan ketara kerana melalui pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran bot-bot yang dikesan menceroboh dalam waktu PKP ini, belum ada bot yang telah diusir akan kembali semula ke perairan Terengganu," katanya.
Katanya lagi, sepanjang bulan puasa ini, pihaknya menggerakkan empat kapal dan lima bot dengan kekuatan anggota seramai 100 orang untuk melaksanakan rondaan di perairan Terengganu.
Beliau juga meminta komuniti Maritim terus menerus menyalurkan maklumat dan aduan dengan cepat ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!