Kerajaan PH cemerlang tadbir Kedah, kata Mukhriz
ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah mentadbir negeri dengan cemerlang selain prestasi memberangsangkan sepanjang dua tahun menerajui negeri itu.
Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tidak wujud apa-apa masalah serius berkaitan kerajaan negeri, temasuk tiada skandal melibatkan dirinya mahupun anggota Exco serta pegawai kerajaan sepanjang dua tahun itu.
Menurutnya, tidak ada krisis mencetuskan huru-hara dalam kalangan rakyat sehingga mengakibatkan kerajaan perlu ditukar, sebaliknya hanya disebabkan kepentingan politik peribadi di luar Kedah yang menjadikan rakyat sebagai mangsa.
“Banyak kebaikan dilakukan walaupun persekitaran ekonomi mencabar dan kewangan berkurangan. Kedah antara negeri tercorot dari segi pertumbuhan ekonomi, rizabnya terhad, sumber pendapatan tidak melimpah ruah, selain memikul tanggungjawab menjamin bekalan makanan negara,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mukhriz berkata, pihaknya melakukan strategi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang, serta mengatur gerak memantapkan kemakmuran negeri.
“Peluang pekerjaan bernilai tinggi dan peluang perniagaan dari pelaburan asing dan tempatan diberi keutamaan meskipun kita berhadapan saingan sengit dari dalam dan luar negara. Namun kebanyakan projek besar yang telah saya lancarkan kali pertama saya menjadi Menteri Besar sudah dimulakan,” katanya.
Menurutnya, antaranya, Litar Lumba Antarabangsa Kedah di Sungai Petani sudah memasuki fasa kedua pembinaan infrastruktur asas, manakala Taman Teknologi Tinggi Kulim diperbesarkan dan berjaya menarik pelaburan baharu bernilai berbilion ringgit.
“Kerja-kerja tanah sudah dimulakan di Kedah Rubber City, Padang Terap. Projek Northern Gateway sudah diluluskan dengan pelabur tempatan dan asing mula mengusahakannya. Kerja-kerja menyediakan prasarana sedang dimulakan di Taman Sains dan Teknologi Kedah, Bukit Kayu Hitam. Kelulusan membangunkan Hub Pembuatan Logistik dan Aeroangkasa Sidam juga telah diperolehi,” katanya.
Mukhriz berkata, pelan induk projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) juga hampir siap, dan diluluskan pinjaman modal awalan lebih RM2 bilion oleh kerajaan Persekutuan.
“Hasil usaha strategik kerajaan PH, Kedah mencapai jumlah pelaburan luar biasa, RM14.7 bilion untuk pelbagai sektor, manakala pelaburan untuk sektor pembuatan RM11.5 bilion, meletakkan Kedah di tangga ketiga teratas selepas Selangor dan Pulau Pinang. Ini peningkatan 400 peratus dari pencapaian 2018,” katanya.
Menurutnya, daripada jumlah itu, RM8.09 bilion adalah pelaburan asing dari Amerika Syarikat, China, Jerman, Hong Kong dan Taiwan.
“Kedah semakin terkenal dan diperakui dunia sebagai destinasi pelaburan untuk industri berteknologi tinggi. Hasilnya, lebih 4,800 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak Kedah ditawarkan. Itulah objektif sebenar perancangan pembangunan kerajaan PH Kedah, untuk menawarkan peluang kerja bernilai tinggi kepada anak Kedah agar mereka tidak perlu berhijrah ke negeri lain,” katanya.
Mukhriz berkata, kelestarian alam semula jadi juga diberi perhatian serius dengan menghentikan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sehingga satu dasar jelas diperkenalkan.
“Pada pembentangan Bajet Kedah 2020, saya mengumumkan Kawasan Tadahan Air di Ulu Muda ditambah sebanyak 209 peratus kepada 123,855 ekar, manakala di Hutan Simpan Bukit Saiong pula diwartakan seluas 20,240 ekar sebagai kawasan tadahan air,” katanya.
Menurutnya, kelulusan kuari batu di Gunung Pulai yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1996 yang menjejaskan gua-gua berpotensi pelancongan turut dibatalkan.
“Saya senaraikan kejayaan kami untuk mengingatkan bahawa PH Kedah mencapai prestasi luar biasa, memecah rekod pelbagai aspek dan membawa nikmat untuk rakyat,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, genap dua tahun PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Mukhriz mengangkat sumpah kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah ke-13 pada 11 Mei 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!