Harap RUU bahan khayal dibentang sesi Parlimen akan datang

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

KUALA LUMPUR – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berharap rang undang-undang mengenai bahan khayal dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang susulan masalah ketagihan bahan khayal dalam kalangan remaja berada pada tahap membimbangkan.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, masalah ketagihan dalam kalangan remaja bukan sahaja membabitkan dadah tetapi juga bahan ketagihan lain yang mudah diperoleh seperti gam, petrol, aerosol, cat sembur, cecair pemetik api dan najis lembu.

“Saya berharap rang undang-undang berkaitan dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang kerana masalah ketagihan bahan khayal ini sudah berada di tahap membimbangkan apabila kegiatan ini dibuat secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:RUU bahan khayal digubal tangani ketagihan gam]

Lam Thye berkata, bagi memperkukuhkan lagi akta tersebut, ia perlu merangkumi tiga asas penting melibatkan program pendidikan dan kesedaran; penguatkuasaan undang-undang dan pemulihan.

Jelasnya, proses pendidikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya bahan khayal perlu dilaksana di semua peringkat terutamanya di sekolah dengan sokongan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa.

Tindakan penagih atau anggota keluarga yang menyerah diri secara sukarela perlu disokong kerana ada kesedaran untuk berubah, katanya.

Menurutnya, bagi aspek penguatkuasaan, akta baharu itu perlu memberi kuasa kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk menahan mereka yang menyalahguna bahan berkenaan kerana pada masa ini tiada peruntukan undang-undang sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“AADK perlu meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkepentingan bagi menangani masalah ketagihan bahan khayal ini kerana ia tidak mampu dilakukan secara bersendirian.

“Pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan terhadap sindiket yang cuba membekal dadah kepada golongan terbabit seperti dilaporkan pihak media,” katanya.

Lam Thye berkata, proses pemulihan secara menyeluruh dan berkesan juga perlu diwujudkan supaya penagih tidak mengulangi kesalahan serta mampu membuka lembaran kehidupan yang baru.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) bersetuju dengan cadangan supaya Akta Bahan Khayal diwujudkan bagi menangani masalah ketagihan bahan khayal atau inhalan seperti gam dalam kalangan remaja. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!