Wartawan penyiasat dibunuh
ACCRA - GHANA. Seorang wartawan penyiasat ditembak mati ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya semalam.
Media tempatan melaporkan, mangsa Ahmed Hussein Suale ditembak oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal dan dipercayai pembunuh upahan.
Menurut laporan itu, pembunuhan ke atas wartawan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahan skandal rasuah terhadap pegawai tinggi badan bola sepak dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) baru-baru ini.
Suale ditembak dua kali di bahagian dada dan satu das lagi pada leher dalam jarak dekat semasa memandu di pinggir bandar Accra, iaitu lokasi tempat tinggalnya.
Syarikat penerbitan berasaskan siasatan, Tiger Eye PI mendakwa insiden itu dilakukan oleh penembak profesional.
Polis belum membuat pengumuman mengenai sebarang tangkapan berhubung kejadian itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!