Warga emas teruja terima Kotak Rezeki Aidilfitri
KUALA NERUS - Warga emas dari Kampung Bukit Berangan, Tepuh, di sini teruja menerima Kotak Rezeki Aidilfitri Angkatan Pertahanan Awam (APM)-Repsol yang disampaikan di kediaman yang didudukinya hari ini.
Sudin Awang,80, berkata, pemberian itu dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung disebabkan punca kewangan yang terjejas akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
"Alhamdulillah, syukur atas rezeki yang tidak pernah putus diberikan kepada saya sekeluarga.
"Mudah-mudahan ia dapat memeriahkan sambutan hari raya kali ini walaupun hanya sehari sahaja diberikan oleh kerajaan untuk sambutan raya demi keselamatan semua," katanya yang tinggal bersama adiknya, Mohd Rani Sudin,30, di kediaman itu.
Sementara itu, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, APM bersama Repsol Oil and Gas Malaysia Limited (Repsol) Malaysia 2020 pertama kali berkolaboratif dalam memberi bantuan kepada golongan asnaf supaya mereka dapat merasai kemeriahan Aidilfitri sama seperti orang lain.
Katanya, bantuan kotak berisi keperluan asas makanan harian atau digelar Kotak Rezeki Aidilfitri akan diagihkan kepada 80 keluarga daripada golongan kurang berkemampuan dan terjejas punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Katanya, sebanyak RM30,000 diperuntukkan bagi kos keseluruhan program termasuk barangan makanan, pengurusan dan logistik hasil sumbangan Repsol Malaysia.
"Sebahagian sumbangan ini adalah dari pihak organisasi Repsol Malaysia. APM dan Rela diamanahkan untuk menjalankan program agihan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi tertentu menerusi mini konvoi.
“Mini konvoi ini hanya melibatkan 10 buah motosikal sahaja yang akan bergerak bermula hari ini dan kita telah dikenal pasti 10 keluarga setiap daerah dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Selain barangan dapur kita turut menyediakan kuih raya, face mask dan hand sanitizer supaya mereka mematuhi langkah-langkah keselamatan yang telah disarankan kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!