Pematuhan PKPD Pasar Jalan Othman capai tahap 99 peratus: Polis

Anggota Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) menerbangkan drone bagi memantau keadaan kawasan PKPD di Jalan Othman hari ini. -Foto Bernama
Anggota Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) menerbangkan drone bagi memantau keadaan kawasan PKPD di Jalan Othman hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan sekitar Pasar Jalan Othman di sini mencapai tahap 99 peratus apabila penduduknya memberikan kerjasama baik serta tidak melanggar arahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kawasan terlibat yang mempunyai penduduk lebih 2,600 orang itu sangat berdisiplin tanpa menimbulkan sebarang masalah mahupun jenayah.

Beliau berkata, aduan yang pihaknya terima hanya berkaitan bantuan makanan dan permohonan keluar bagi kes-kes kecemasan seperti mempunyai temu janji doktor atau mendapatkan rawatan dialisis.

“Tiada sebarang masalah yang ditimbulkan oleh penduduk malah makan minum mereka cukup dan saringan Covid-19 juga telah selesai sejak dua hari lalu.

“Sumbangan makanan diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat yang dibantu oleh anggota tentera dan Jabatan Sukarelawan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Ezanee berkata, penduduk di kawasan itu akur dengan perintah yang dikuatkuasakan dan pihaknya kini sedang menunggu arahan seterusnya untuk menamatkan PKPD ini.

“Kami sedang menunggu arahan lanjut untuk membuka semula kawasan PKPD ini,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk Pasar Jalan Othman patuh kepada peraturan PKPD dengan tidak menimbulkan sebarang kecurigaan malah mereka tidak keluar dan hanya duduk di rumah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, anggota polis dan tentera yang bertugas di kawasan itu ketika ditemui juga mengakui tahap pematuhan penduduk yang tinggi itu.

Tinjauan Bernama selama dua hari juga mendapati penduduk di kawasan terlibat tidak merungut mengenai arahan PKPD yang dikuatkuasakan, selain akur dengan keputusan kerajaan dan kini menunggu agar PKPD ditamatkan.

Selain itu, wartawan Bernama turut mendapati kawasan Pasar Jalan Othman dan kawasan sekitarnya tidak sibuk dan tidak ramai pengunjung sekali gus menunjukkan penduduk hanya keluar apabila perlu dan sedar mengenai risiko penularan Covid-19 sekiranya tidak serius menanganinya.

Pada Ahad lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman menjadi kawasan terbaharu dilaksanakan PKPD berkuatkuasa sehingga 23 Mei.

Keputusan berkenaan diambil selepas Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!