Najib sindir Kit Siang lebih lurus daripada pembaris
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus menyindir veteran DAP, Lim Kit Siang yang disifatkan beliau obses terhadap dirinya.
Katanya, ini dibuktikan dengan kenyataan daripada Kit Siang yang secara berterusan menyerang beliau.
"Ini juga sekali lagi membuktikan beliau tak dapat hentikan obsesi dia terhadap saya walaupun dia nafi ada obsesi dalam kenyataan hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN:Najib ada agenda jika jadi PM kelapan: Kit Siang]
"Lalu, dia tuduh saya telah berbohong kerana sebab utama saya ke Cameron Highlands bukan hanya untuk membeli strawberi. Mungkin beliau tak faham apa maksud ayat sindiran? Saya ingat pembaris dah cukup lurus, ada yang lagi lurus rupanya," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Semalam, Najib menyatakan kehairanan dengan Kit Siang yang terlalu obses dengan dirinya sehingga mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerang secara peribadi walaupun beliau tidak lagi Perdana Menteri atau Presiden Umno dan BN.
Ahli Parlimen Pekan itu juga mempersoalkan, mengapa Kit Siang tidak terus mengaitkan dirinya dengan kematian Altantuya Shaariibuu: Teoh Beng Hock: Timbalan Pendakwaraya, Datuk Anthony Kevin Morais dan Pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Najadi.
Malah soalnya, adakah tuduhan yang dilemparkan selama ini diakui Kit Siang sebagai fitnah terhadap dirinya selama bertahun-tahun.
Najib kini berada di Cameron Highlands bagi membabtu kempen BN dalam PRK Parlimen tersebut.
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kehadiran bekas presiden parti itu adalah atas permintaan daripada penduduk di sana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!