Pusat pemindahan banjir di Perak bertambah

Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Kuala Slim, Slim River ke SK Kuala Slim. - Foto APM Perak
Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Kuala Slim, Slim River ke SK Kuala Slim. - Foto APM Perak
A
A
A

IPOH - Jumlah pusat pemindahan banjir (PPS) di Perak terus bertambah selepas terbaru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim dibuka bagi menempatkan 16 mangsa banjir hari ini.

Timbalan Pengarah APM Perak, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, PPS di SK Kuala Slim yang dibuka merupakan yang ketiga selepas di Dewan Orang Ramai Dato' Ahmad Said, Sungai Rokam dan Dewan Orang Ramai Kampung Kurnia, Slim River.

Menurutnya, pembukaan PPS yang baharu itu berikutan kejadian banjir kilat di Kampung Kuala Slim ekoran hujan lebat berterusan selama lebih tiga jam bermula jam 1.15 petang hari ini.

"Sebanyak enam rumah dimasuki air akibat limpahan air dari Sungai Bernam, Kuala Slim dan kerja-kerja memindahkan mangsa giat dilakukan beberapa agensi terlibat.

"Mangsa yang dipindahkan membabitkan 10 dewasa, seorang warga emas dan lima kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, setakat ini, kesemua PPS masih kekal beroperasi melibatkan dua di daerah Mualim dan satu di daerah Kinta.

Beliau berkata, selain APM, agensi yang terlibat membantu di dalam proses pemindahan mangsa banjir ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pejabat Daerah dan Tanah serta beberapa agensi lain.

Sehingga kini seramai 41 mangsa banjir masih berada di tiga PPS sejak semalam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!