Dua kali jadi MB tidak sampai sepenggal
ALOR SETAR - Tanda tanya mengenai kemelut politik di Kedah akhirnya terjawab hari ini apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor daripada Pas, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu, menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Muhammad Sanusi, Menteri Besar Kedah ke-14, yang sebelum ini Ketua Pembangkang juga dipetik sebagai berkata, Mukhriz bakal berhadapan dengan undi tidak percaya kerana sering ‘berlama-lama’ di Kuala Lumpur berbanding tempat tugas hakikinya di Kedah.
Cakap-cakap bahawa beliau akan ‘jatuh’ buat kali kedua sebenarnya sudah lama disebut-sebut dan kini menjadi realiti apabila 23 daripada 36 ADUN Kedah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.
Umpama menabur garam pada luka, empat ADUN Bersatu yang disifatkan ‘orang kuat’ Mukhriz iaitu Juhari Bulat (Ayer Hangat), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak) turut didakwa bertukar kem, menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
Sakit yang mungkin dirasai Mukhriz kali ini pastinya tidak sama seperti kali pertama beliau jatuh selepas UMNO Kedah 'memberontak' dan 'menggulingkannya' sehingga hilang jawatan sebagai menteri besar pada 2016.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada ketika itu mengisytiharkan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO di negeri itu hilang keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar.
Serangan bertalu-talu dengan restu pemimpin tertinggi iaitu Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya berjaya merobohkan ‘kubu’ Mukhriz, sekaligus ‘kotanya’ dirampas Ahmad Bashah yang diangkat sebagai menteri besar sehingga Pilihan Raya Umum ke-14.
Anak bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu, kemudiannya bangkit semula pada PRU Ke-14, bersama gabungan Pakatan Harapan yang menggunakan logo PKR, sekaligus memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala Pas (15) dan BN (tiga pada awalnya).
Mukhriz kemudiannya kembali ke gelanggang setelah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke-13 di Istana Anak Bukit pada 11 Mei 2018.
Kini, beliau jatuh sekali lagi.
Tali yang terbelit lebih sukar terungkai apabila Mukhriz dikatakan menyokong tindakan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu sebagai Perdana Menteri.
Muhammad Sanusi sendiri dalam sidang media khas Perikatan Nasional (PN) Kedah beberapa hari lepas, walaupun tidak sehaluan, turut menyuarakan simpatinya terhadap Mukhriz.
"Saya bersimpati, (Mukhriz) sebagai seorang pemimpin terpaksa berdepan senario seperti itu dalam kerjayanya," katanya.
Kejatuhan kali kedua ini juga sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima, dan hakikat yang perlu ditelan juga adalah jawatan Menteri Besar Kedah mungkin bukan untuk Mukhriz. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!