'Lelah' kerap bersih rumah akibat banjir

Mariani terpaksa mengharungi banjir setinggi 0.3 meter untuk keluar dari rumahnya di Kampung Padang Serai. Foto: Ihsan pembaca
Mariani terpaksa mengharungi banjir setinggi 0.3 meter untuk keluar dari rumahnya di Kampung Padang Serai. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

MANJUNG - Penat membersih belum hilang, sekali lagi rumahnya dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan di Kampung Padang Serai, Pantai Remis di sini.

Seorang Penduduk, Mariani Abdul Rani, 49, berkata, banjir kilat yang berlaku sekitar jam 9 malam semalam merupakan kejadian ketiga dihadapinya sepanjang bulan Ramadan ini.

“Isnin lalu rumah sudah dinaiki air dan surut sepenuhnya kelmarin.

"Dalam tempoh itu, saya dan suami hanya fokus untuk membersihkan rumah.

“Belum sampai 12 jam air kembali naik dan memenuhi halaman serta dapur rumah kami. Air parit yang melimpah menyebabkan rumah berbau busuk dan kami rasa gatal-gatal,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berhasrat untuk berpindah apabila bahagian dapur dan halaman sahaja digenangi air manakala ruangan tengah masih boleh diduduki.

“Keluarga memang sudah bersedia apabila hujan lebat kerana kerap kali rumah kami dinaiki air.

“Kami harap air surut dengan cepat kerana hanya tinggal beberapa hari saja lagi hendak sambut hari raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, pihaknya akan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

"Berkaitan parit juga sudah dimaklumkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!