Parlimen wajar bersidang lebih daripada sehari

Bangunan Parlimen Malaysia. -Foto Bernama
Bangunan Parlimen Malaysia. -Foto Bernama
A
A
A

MESYUARAT pertama, penggal ketiga persidangan Dewan Rakyat, Parlimen ke-14 yang berlangsung hari ini tidak wajar dihadkan sehari sahaja. Parti-parti pembangkang juga kecewa dan menyifatkan ia kali pertama dalam sejarah lebih enam dekad Parlimen Malaysia yang mana sebuah majlis mesyuarat berlangsung tanpa sidang penuh.

Parti-parti pembangkang iaitu PKR, Amanah, DAP, Bersatu dan Warisan dalam satu kenyataan bersama tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengadakan sidang untuk hanya mendengar Titah Diraja, serta menegaskan pendirian pembangkang bahawa Parlimen boleh dan mesti bersidang lebih daripada apa yang diusahakan kerajaan sekarang demi menyegerakan penyelesaian masalah rakyat.

Bahkan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang perlu digunakan sebaiknya untuk membahaskan isu-isu yang melibatkan rakyat ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada 18 Mac lalu, banyak isu membabitkan rakyat yang perlu disuarakan di Parlimen supaya ia dapat ditangani dengan sebaiknya.

Misalnya, nasib pengusaha van sekolah yang hilang punca pendapatan, pengusaha gunting rambut, pengusaha taska dan banyak lagi golongan yang terkesan dengan situasi semasa, serta perbahasan tentang dana-dana kewangan untuk membantu rakyat.

Parlimen adalah tempat terbaik bagi ahli-ahli Parlimen untuk menyuarakan permasalahan yang berlaku, dibincangkan dan mencari solusi terbaik kepada isu yang ditimbulkan.

Dengan tempoh persidangan yang panjang, ahli Parlimen dapat menggunakan peluang yang ada untuk menyuarakan kesusahan rakyat yang tidak dapat disampaikan melalui saluran lain, selain mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang munasabah untuk membendung wabak Covid-19.

Tetapi, pada masa yang sama ahli Parlimen hendaklah bersifat matang dengan fokus kepada isu rakyat dan bukannya bergaduh, bertikam lidah dan kemaruk untuk berebut kuasa ketika banyak rakyat kini dalam kesusahan dan kesengsaraan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!