Menggerakkan ekonomi akar umbi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed -Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed -Foto Bernama
A
A
A

AHAD depan mungkin Hari Raya Aidilfitri. Lazimnya, seminggu sebelum hari raya semua orang sibuk melakukan persiapan untuk menyambutnya. Pasar raya akan sesak. Di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur hendak berjalan pun tidak boleh. Ada yang mencari baju raya, langsir baharu dan kuih raya.

Kini, semua jauh berbeza. Jalan TAR agak sunyi, tambahan pula kawasan tersebut pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ibu bapa tidak sangat membeli baju raya untuk anak-anak. Beraya di rumah sahaja. Malah di televisyen pun hampir tiada lagu raya manakala iklan hari raya jarang-jarang disiarkan. Lagu dan iklan lazimnya membangkitkan rasa kemeriahan atau nostalgia balik kampung.

Semuanya kerana Covid-19. Semua sedar bahaya dan ancamannya. Sejak 18 Mac sehingga 4 Mei lalu pergerakan amat terhad. Kerajaan mengambil langkah itu bagi memutuskan rantaian wabak tersebut. Kesannya ramai hilang mata pencarian.

Sejak 5 Mei lalu, kerajaan sudah membuka kembali semua sektor ekonomi kecuali beberapa senarai negatif selepas melihat penularan Covid-19 semakin terkawal. Benar, masih ada jangkitan tetapi tidak terlalu serius apatah lagi jumlah yang pulih selepas mendapat jangkitan itu semakin ramai. Pun begitu disiplin tinggi dituntut. Orang ramai harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jika ia diingkari, kita akan terus berkurung seperti sejak 18 Mac lalu.

Dalam keadaan ini peranan kerajaan amat penting dalam menggerakkan ekonomi negara melalui dasarnya dan juga perbelanjaan yang dibuat untuk projek pembangunan serta program-program jabatan dan agensi kerajaan.

Oleh itu, kerajaan sedang melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) yang bernilai RM260 bilion dengan tiga matlamat utama iaitu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi.

Untuk melindungi rakyat kerajaan menyediakan pelbagai dana antaranya Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) – pemberian tunai – sebanyak RM10 bilion kepada golongan B40 serta buat pertama kali juga disalurkan kepada golongan M40. Jumlah keseluruhan penerima bantuan ini ialah sebanyak 13.61 juta rakyat Malaysia.

Sudah pasti, pemberian tunai ini hanya bertahan untuk beberapa waktu sahaja. Bulan depan sudah tiada bantuan. Cuma B40 akan menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pada Julai. Ekonomi harus digerakkan semula tetapi tertakluk kepada SOP Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Biarpun begitu, sektor swasta masih tidak mampu berfungsi sepenuhnya. Pada minggu pertama pembukaan semula, kira-kira 50 peratus sahaja memulakan operasi. Pada Rabu lalu, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali telah mengeluarkan arahan supaya kakitangan kembali ke pejabat. Insya-ALLAH selepas Aidilfitri ini kebanyakan penjawat awam kecuali guru akan kembali menjalankan tugas.

Kehadiran ramai kakitangan awam ke pejabat menggerakkan aliran tunai di pasaran. Wang akan bertukar-tukar tangan. Terdapat kira-kira 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara. Apabila golongan ini keluar bekerja ekonomi digerakkan. Mereka akan membeli pisang goreng di gerai Mak Cik Kiah, mengisi petrol di stesen minyak, membeli barangan harian di kedai runcit dan keluar untuk berbuka puasa atau makan malam. Ekonomi di akar umbi kembali disuburkan. Ini termasuk juga di kampung-kampung kerana kakitangan awam berada di seluruh pelosok negara.

Bagi menyokong perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan menyediakan pelbagai geran dan bantuan. Sebanyak RM13.8 bilion diperuntukkan untuk subsidi gaji bagi memastikan majikan terus mengekalkan pekerja mereka. Kerajaan juga akan mula menyalurkan dana Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 kepada PKS.

Projek kecil

Selain itu, sebanyak RM4 bilion diperuntukkan untuk projek-projek kecil yang melibatkan kontraktor kelas G1 dan G2 yang sudah lama tidak ada sebarang kerja. Di seluruh negara terdapat sebanyak 44,300 kontraktor kelas G1 dan 22,795 kontraktor kelas G2. Mereka boleh kembali menjalankan aktiviti apabila kerajaan mula melonggarkan SOP untuk sektor tersebut.

Cabutan undi untuk projek-projek kecil ini sudah mula dibuat. Dalam tempoh yang terdekat ini ekonomi di akar umbi akan mula berfungsi kembali. Projek-projek kecil seluruh negara yang bernilai RM4 bilion akan dilaksanakan dalam tempoh dua sehingga tiga bulan.

Jika semua ini berjalan, ramai akan mendapat manfaat. Kedai perkakasan, kilang simen, paku, besi, papan, kuari batu, dan pasir akan kembali beroperasi. Bukan itu sahaja, orang ramai sudah mula beratur panjang di kedai colek di Cherang, Kota Bharu. (Colek adalah kudapan malam yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan di Kelantan.) Peniaga pasar akan kembali tersenyum. Cuma Raju terpaksa bersabar seketika kerana kedai gunting masih belum dibenarkan beroperasi.

Ekonomi di akar umbi banyak bergantung kepada peruntukan kerajaan dan harga komoditi. Jika semua ini berjalan dengan baik, anggaran sebelum ini negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari tidak akan sampai. Dan mungkin andaian yang dibuat oleh banyak pihak bahawa ekonomi Malaysia akan menguncup lima sehingga 10 peratus mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menunjukkan tahap kematangan dan disiplin yang tinggi untuk menangani krisis kesihatan yang dahsyat ini. Justeru, hari ini adalah penting untuk orang politik bergandingan tangan bagi memulihkan ekonomi negara. Sekarang bukan masa untuk berpolitik atau menuding jari mencari salah siapa. Sekarang adalah masa untuk bersama-sama membina kembali negara ini.

Benar, keadaan kita sekarang amat sukar tetapi permulaan untuk kehidupan baharu perlu dimulakan. Kuncinya kita harus bersatu hati dan cekal meneruskan hidup dengan norma baharu. Jika tidak kita akan terus ketinggalan.

Kita sudah hampir ke penghujung Ramadan. Kita semakin hampir untuk berpisah dengan keindahan dan keistimewaan penghulu segala bulan. Bererti kesempatan meraih kemanisan pahala berlipat ganda padanya akan berakhir. Semoga kita semua dipertemukan dengan Lailatul Qadar dan segala kesilapan kita diampunkan ALLAH SWT.

Harapnya Aidilfitri kali ini memberikan makna dan memperteguhkan hati kita semua untuk menempuh kehidupan yang mencabar ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

* Datuk Seri Mustapa Mohamed ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!