Masa depan pelajar B40 dipertaruh

Tiga beradik, Mohd Khalish Aqeel Azizi, 13, (kanan), Arisa Yasmin, 9, (tengah) dan Mohd Khaleef Azeem, 7, (kiri) tekun mengikuti rancangan TV Pendidikan di rumah mereka di Kampung Gaung, Jertih, Terengganu sebagai normal baharu pembela­jaran dalam talian sepanjang PKP. -Foto Bernama
Tiga beradik, Mohd Khalish Aqeel Azizi, 13, (kanan), Arisa Yasmin, 9, (tengah) dan Mohd Khaleef Azeem, 7, (kiri) tekun mengikuti rancangan TV Pendidikan di rumah mereka di Kampung Gaung, Jertih, Terengganu sebagai normal baharu pembela­jaran dalam talian sepanjang PKP. -Foto Bernama
A
A
A

SETIAP hari, pengisian pembelajaran bagi setiap subjek di sekolah adalah berbeza. Oleh itu, walaupun hanya satu hari seorang pelajar gagal hadir ke sekolah, mereka akan ketinggalan berbanding rakan sekelas yang lain.

Kini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah masuk dua bulan dan pembelajaran bukan lagi di bilik darjah tetapi di hadapan gajet-gajet pintar yang menjadi landasan antara guru dan pelajar meneruskan rutin.

Ramai yang berlapang dada dan lega kerana tempoh PKP tidak menjadi penghalang untuk pelapis-pelapis negara ini meneruskan pendidikan melalui proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian.

Namun, di sebalik rasa lega dan teruja dengan normal baharu pembelajaran dalam talian ini, mungkin ramai yang tidak sedar berlakunya keciciran pelajar yang gagal ‘hadir’ ke kelas pembelajaran dalam talian.

Bukan tidak mahu tetapi mereka tidak mampu kerana tidak mempunyai gajet pintar yang membolehkan mereka bersama-sama menimba ilmu.

Memikirkan harga sebuah gajet pintar yang sesuai, mungkin itulah juga harga sebulan makanan asas untuk keluarga pelajar yang tercicir daripada kalangan B40 ini.

Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan & Pendidikan Pendidik Malaysia, Datuk Dr Roselan Baki berpendapat, ketika ini keluarga B40 berada dalam tekanan bagi kelangsungan hidup menyebabkan aspek pendidikan bukan lagi keutamaan sebaliknya makanan adalah perkara paling penting.

“Keadaan ini memang sangat rumit bagi mereka. Kebanyakan mereka nak hidup pun susah, macam mana nak memikirkan soal peralatan, telefon pintar, WiFi dan sebagainya?

Artikel Berkaitan:

“Bila hidup susah, yang penting bukan benda-benda itu atau pendidikan. Yang penting ialah makan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ujarnya, jika dilihat dari aspek jangka panjang, masa depan pelajar yang ketinggalan ini sebenarnya sedang dipertaruhkan ketika tempoh PKP Bersyarat masih samar untuk ditamatkan.

Bahkan, dengan normal baharu penjarakkan sosial juga tidak memungkinkan sesi pembelajaran bilik darjah dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Tentu sahaja tempoh PKP ini akan menjejaskan masa depan mereka. Apa akan jadi kepada mereka pada 10 tahun akan datang? Ini bukan perkara kecil kalau kita melihatnya untuk jangka panjang,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan adalah bagi pelajar lelaki yang lambat matang dan kurang kesedaran tentang kepentingan belajar sendiri.

“Pelajar perempuan yang berumur 15 atau 16 tahun sudah faham untuk belajar sendiri dalam keadaan sekarang demi masa depan tetapi pelajar lelaki tidak, mereka belum matang. Jadi mereka akan ketinggalan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, peranan ketua masyarakat amat penting termasuk pihak pejabat pendidikan daerah, juga ahli-ahli politik dan korporat dalam membantu memastikan pelajar ini tidak tercicir.

Katanya, penyediaan pusat khas dilengkapi kemudahan komputer dengan akses internet wajar dibuat di bawah pemantauan bagi memastikan SOP mengekang wabak Covid-19 dipatuhi.

“Buat sistem penggiliran. Sekurang-kurangnya pelajar ini tidak ketinggalan secara total.

“Satu cara lain, saya fikir pihak berkaitan, pejabat pendidikan daerah misalnya beri tugasan dalam bentuk kertas bercetak kemudian hantar ke tempat-tempat tertentu, jadi pelajar-pelajar ini ada bahan nota dan latihan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!